kanak-kanak dan bayi yang ditinggalkan ibu bapa mereka. FOTO Ihsan JKM
kanak-kanak dan bayi yang ditinggalkan ibu bapa mereka. FOTO Ihsan JKM
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Di mana ibu bapa kami? Itu nasib lima kanak-kanak dan dua bayi yang dilahirkan ibu masing-masing di hospital dan hilang tanpa khabar berita.

Dua bayi dan lima kanak-kanak termasuk tiga beradik itu kini ditempatkan di beberapa institusi jagaan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara waris atau ibu bapa kandung mereka dapat dikesan.

Bagi kes pertama, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Klang sedang mengesan seorang wanita dikenali sebagai Subitra Nanian yang juga ibu kepada kanak-kanak lelaki, Maadhesh berusia empat tahun bagi proses dokumentasi.

Pelindung kanak-kanak PKMD Klang, Zaidi Zakaria berkata, Maadhesh dilahirkan ibunya di Hospital Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2016 lalu.

"Selepas dilahirkan, ibunya bertindak melarikan diri dan tidak lagi menjenguk Maadhesh," katanya.

Zaidi berkata, bagi kes kedua pihaknya sedang mengesan seorang wanita Malaysia dikenali sebagai Sivakumary Ravithran, ibu kepada bayi, Denisha yang dilahirkan pada 13 Februari lalu.

"Bayi ini dirujuk Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selepas ditinggalkan di wad SCN tingkat empat oleh ibu kandungnya sebaik dilahirkan pada 13 Februari lalu.

"Ibu kandung hanya datang sekali melawat kanak-kanak pada 18 Februari lalu dan terus menghilangkan diri, kita percaya wanita ini masih tinggal di sekitar Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang," katanya.

Katanya, bagi kes ketiga pihaknya sedang mengesan wanita Malaysia, Tan Sue Yee, ibu kepada seorang bayi dilahirkan pada 28 Februari lalu.

"Bayi ini juga dirujuk JKSP HTAR selepas ditinggalkan di wad oleh wanita berkenaan.

"Bayi ini dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans selepas dilahirkan oleh Sue Yee di sebuah hotel di Klang dan sehingga kini wanita itu gagal dikesan," katanya.

Zaidi berkata, bagi kes keempat, kelima dan keenam membabitkan tiga beradik berusia empat hingga 10 tahun yang diabaikan ibu kandung yang juga wanita Malaysia dikenali Kaliaswary Thayalan.

"Pada mulanya, Maneesha (berusia empat tahun) ditinggalkan ibu kandung sejak dilahirkan pada 17 Julai 2016 di HTAR Klang.

"Selepas dilahirkan, ibu kandung melarikan diri dan gagal dikesan dan turut meninggalkan dua lagi abang kepada Maneesha, Tanaresan (berusia lapan tahun) dan Sundaresan (berusia 10 tahun) di HTAR.

"Kanak-kanak kemudian diselamatkan dan siasatan mendapati ibu kandung positif dadah jenis ketamine dan methadone," katanya.

Sementara itu, pelindung kanak-kanak PKMD Klang, Nurzatulhain Mohd Othman sedang mengesan ibu bapa kandung atau waris bagi kanak-kanak lelaki, Abdul Muhaimin.

"Abdul Muhaimin berusia tiga tahun enam bulan dilahirkan pada 13 Disember 2016 oleh seorang wanita, Noriyana Abu Bakar nombor kad pengenalan 940803-10-6512 di sebuah rumah beralamat terakhir No 41 Jalan Sungai Sama Gagah, Taman Telok Gedong Indah, 42000 Pelabuhan Klang.

"Kanak-kanak ditinggalkan di HTAR Klang sejak berusia sebulan dan wanita ini sehingga kini tidak pernah muncul," katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi PKMD Klang di talian 03-33413703 atau 03-33413913.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 7:15 PM