Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Mestilah saya kehilangan kata-kata. Ini kali pertama saya dapat hadiah sebesar ini. Saya dah cakap, saya dapat kereta apa pun, dah tentu saya seronok. Benda percuma kot."

Itu kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), Bell Ngasri, 42, dihadiahkan sebuah kereta Mini Cooper Clubman S oleh DTC Motors Sdn Bhd, hari ini, sempena kemenangannya itu.

Kereta berharga kira-kira RM200,000 itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motors Sdn Bhd, Afendy Wahid di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Ampang Hilir, di sini.

Bell yang juga pemenang kategori Artis Komedi Popular mengakui terkejut kerana dihadiahkan sebuah kereta yang selesa.

"Ia kereta idaman saya dan isteri. Terus terang saya tak cukup tidur pasal pemberian kereta. Saya tak kisah apa jenis kereta, saya terima saja. Saya sangat bersyukur dengan pemberian ini," katanya.

Sementara itu Afendi berkata, pada mulanya dia menghubungi stesen radio Hot FM untuk menyampaikan hasratnya tetapi tidak berjaya.

"Saya kemudiannya menghubungi sepupu Bell iaitu Izwan bagi menyampaikan hasrat ini. Bagaimanapun ketika itu belum tahu kereta jenis apa nak diberikan.

"Saya akhirnya panjangkan perkara ini kepada Bell untuk datang ke pejabat kami, Isnin lalu jam 2 petang. Namun, pagi itu Izwan hubungi saya beritahu Hot FM sedang bersiaran dan mencari sesiapa yang nak hadiahkan kereta buat Bell," katanya.

Afendi berkata, dia segera mengambil peluang ini sebelum orang lain berbuat demikian.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarah ABPBH35 merangkap Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir.

Turut hadir ibu Bell, Habibah Jaafar dan adik-beradiknya Naszeli, Darling, Datin Anne dan Nassuhada.

Ia juga dimeriahkan dengan kehadiran barisan penyampai Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana, Johan dan AG.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:23 PM
Majlis penyerahan kereta Bintang Paling Popular (ABPBH) Bell Ngasri dengan kereta Mini Coopers Clubman di DTC Motors, Jalan Ampang Hilir. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Majlis penyerahan kereta Bintang Paling Popular (ABPBH) Bell Ngasri dengan kereta Mini Coopers Clubman di DTC Motors, Jalan Ampang Hilir. FOTO AMIRUDIN SAHIB