BELL syukur nama masih relevan dan masih ada tawaran kerja.
BELL syukur nama masih relevan dan masih ada tawaran kerja.
Norhayati Nordin


Aktif dalam karier seni lebih 30 tahun sudah membuatkan pelakon dan pelawak, Bell Ngasri berasa amat bersyukur. Apatah lagi, nama dan bakatnya masih bertahan relevan dalam industri hiburan sehingga kini.

Bapa tiga anak yang dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ini berkata, dia sebenarnya seorang yang takut dengan populariti.

"Saya memang tak sangka nama diundi sehingga tersenarai dalam lima terbaik bagi kategori Artis Komedi Popular ABPBH, termasuk menjadi antara 10 selebriti popular yang meraih undian tertinggi untuk acara anugerah itu.

"Ia sesuatu yang mengejutkan sebab saya adalah orang yang sebenarnya takut dengan populariti. Takut kita akan berubah ataupun tidak dapat kendalikan populariti itu dengan baik berbanding artis lain yang sudah terbiasa.

"Apa pun, saya akan pastikan tiada sebarang perubahan berlaku pada diri kerana pembabitan dalam bidang seni ini melebihi 30 tahun. Ditambah lagi, kehadiran saya juga masih diterima ramai. Alhamdulillah, saya bersyukur.

"Malah, saya juga masih sihat. Masih boleh buat kerja dan masih tetap bersemangat untuk buat kerja dalam bidang ini serta boleh cari makan dengan tawaran kerja yang memerlukan khidmat saya," katanya.

Terdahulu, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal@Ngasrizal Ngasri, 42, cukup popular dengan watak Barkoba yang juga geng plastik hitam dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid sebelum ini.

Terharu dengan sokongan padu diterimanya daripada peminat dan rakan selebriti, Bell berkata, dia hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengundinya dari setiap penjuru negeri.

BELL bimbang terlalu terkenal, namun pastikan diri tidak berubah sejak ceburi seni lebih 30 tahun.
BELL bimbang terlalu terkenal, namun pastikan diri tidak berubah sejak ceburi seni lebih 30 tahun.

Anak bekas personaliti RTM, Ngasri Sain serta abang kepada Darling Ngasri dan Datin Anne Ngasri ini berkata, dia teruja apabila peminatnya dari Sabah hingga Perlis, sekali gus 14 negeri dalam Malaysia sudi mengundi di ABPBH.

"Begitu juga rakan-rakan artis saya yang cukup ramai menyokong. Kalau nak disebutkan nama mereka satu persatu agak ramai. Tapi, terima kasih pada kalian semua yang mendoakan saya," katanya.

Bagi kategori Artis Komedi Popular, Bell bersaing dengan empat lagi calon hebat lain iaitu Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

Manakala, untuk senarai 10 selebriti popular yang meraih undian tertinggi ABPBH kali ini, Bell berentap dengan barisan nama besar seperti Aina Abdul, Amir Masdi, Anna Jobling, Meerqen dan Siti Nordiana.

Acara anugerah berprestij ABPBH disiarkan di TV3 jam 9 malam ini dari Panggung Sari, Istana Budaya.

BELL Ngasri dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Popular, ABPBH.
BELL Ngasri dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Popular, ABPBH.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:30 AM