ISTERI dan anak-anak serta sokongan keluarga menjadi inspirasi untuknya berjaya.
ISTERI dan anak-anak serta sokongan keluarga menjadi inspirasi untuknya berjaya.
Ridzuan Abdul Rahman


SUDAH tertulis rezeki Bell Ngasri dihadiahkan kereta jenis Mini Cooper Clubman S sebagai pengiktirafan terhadap kemenangan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35), baru-baru ini.

Bell, 42, atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri yang juga pemenang kategori Artis Komedi Popular ABHBH35 menerima kereta bernilai kira-kira RM200,000 yang disampaikan penyampai Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ bersama Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motors, Afendy Wahid, Isnin lalu.

Bell mengakui pada mulanya menyangka berita ini adalah kerja 'scammer' yang bertujuan mempermainkannya.

"Jika mengikut tradisi pemenang utama semua dapat kereta, tapi dapat trofi pun saya dah bersyukur sangat-sangat. Kemenangan ini pun dah dikira berbaloi.

"Memang tak sangka pada hari saya ke Hot FM untuk ditemubual, ada orang menghubungi Hot FM meluahkan hasrat menghadiahkan kereta.

"Mulanya saya ingat 'scammer'. Maklumlah saya selalu sangat jadi mangsa 'scam'. Alhamdulillah, rupanya betul saya dapat kereta," katanya yang berterima kasih kepada DTC Motors dan semua pihak yang berusaha merealisasikan hadiah terbabit.

Bell berkata, dia pernah terfikir sekiranya mendapat kereta, yang murah dan bersaiz kecil pun sudah memadai buatnya.

"Tapi dapat kereta ini pula. Dapat yang ini pun syukur sangat. Saya dapat piala pun itu dah satu penghargaan. Ia paling tinggi dan paling dahsyat pernah saya terima.

BERCADANG untuk menghasilkan cerita berkisarkan kisah hidupnya.
BERCADANG untuk menghasilkan cerita berkisarkan kisah hidupnya.

"Tak tahulah lepas ini saya berpeluang lagi tak. Artis-artis lain sebelum ini pun ramai lagi yang dahsyat pun belum tentu dapat anugerah itu, tapi saya boleh dapat.

"Saya berlakon pun watak kecil, tapi alhamdulillah saya dapat anugerah Bintang Paling Popular. Mungkin DTC kasihan agaknya bila diajukan benda ini di Hot FM oleh KJ.

"Hanya KJ saja yang berani cakap. Saya takkan cakap dan minta apa-apa. Tapi bila KJ cakap, dapat perhatian daripada orang ramai yang salah seorangnya Afendy Wahid," katanya.

Bagi Bell, kemenangan ini menjadi laluan kepada rakyat Malaysia untuk memilih sesiapa saja yang disukai untuk diberikan anugerah.

Dia kini dilihat begitu istimewa di mata masyarakat dan ia terjadi dalam tempoh tidak sampai sebulan.

"Sekarang ini apabila ditawarkan berlakon filem, saya disuruh pilih watak besar sedangkan saya okay watak kecil pun. Saya baca skrip saya kata nak watak kecil saja.

"Saya risau juga kerana apabila orang nak bagi tawaran selepas ini, kena bagi yang besar. Sama saja, saya boleh untuk watak apapun. Tiada masalah benda ini.

BELL gembira dengan kereta yang dihadiahkan kepadanya.
BELL gembira dengan kereta yang dihadiahkan kepadanya.

"Tapi mungkin minda mereka dah bertukar fikir perkara lain. Ada yang kata, buat watak untuk saya tapi peranan kedua dalam cerita. Dia minta saya bawa watak hero sampai saya terkejut," katanya.

Dia melahirkan perasaan maaf tidak dapat menunaikan beberapa permintaan disebabkan jadualnya yang ketat sekarang.

"Tawaran sebagai duta produk pun ada tapi saya belum putuskan apa-apa. Tapi boleh tahan besarnya. Yang nak letak gambar saya kat billboard, dekat bangunan pun ada. Alhamdulillah.

"Sekurang-kurangnya apa yang berlaku pada saya, dapatlah saya merasa bagaimana erti popular. Terima kasih rakyat Malaysia. Sampaikan ada yang ikut saya dan bertanya saya tak penat ke?

"Ada yang prihatin suruh saya rehat. Ada artis yang buat live di media sosial tapi saya tak dapat buat semua itu kerana jadual yang padat. Masa tidur pun sangat terhad," katanya.

Dalam pada itu, Bell turut meluahkan hasrat untuk menghasilkan filem berkisarkan kisah hidupnya.

"Isteri saya seorang penulis skrip dan saya ada ajukan juga untuk buat cerita begitu. Saya sendiri pun suka cerita sebegitu. Saya nak sangat, kalau boleh cerita pasal saya saja.

"Insya-Allah ramai yang nak tahu pembabitan saya dari kecil sampai sekarang. Tapi itu hanyalah saya yang nak. Saya nak kongsikan perjalanan hidup saya. Bukan untuk saya tapi untuk beri inspirasi kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 6:30 AM