JENAZAH Nik Muhammad Zayyan Irfan dipangku datuknya, Yahya Mohd Noor, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak, di sini untuk dikebumikam bersama nenek dan ibunya. Turut kelihatan, Zulhilmi Ismail (dua kiri). FOTO Siti Rohana Idris
JENAZAH Nik Muhammad Zayyan Irfan dipangku datuknya, Yahya Mohd Noor, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak, di sini untuk dikebumikam bersama nenek dan ibunya. Turut kelihatan, Zulhilmi Ismail (dua kiri). FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Isteri kononnya nak buat kejutan untuk datang ke sini (Kuantan) dan saya hanya tahu semasa mereka sekeluarga ingin bertolak," kata suami mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, semalam.

Zulhilmi Ismail Yahya, 23, berkata, isterinya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, baru selesai berpantang selepas melahirkan bayi lelaki mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini, dan ingin kembali ke rumah sewa mereka di Kuantan, Pahang.

"Saya bercadang untuk menjemputnya selepas mengundi (Pilihan Raya Negeri) nanti dan sudah memberitahu isteri tapi tidak sangka mereka sedang dalam perjalanan ke sini (Kuantan).

"Saya tahu kejadian menimpa mereka apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memaklumkan keluarga terbabit dalam kemalangan.

"Walau ketika itu belum mengetahui status kesemua ahli keluarga, tapi naluri saya mengatakan bahawa bayi lelaki kami sudah tiada," katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di sini.

Zulhilmi Ismail berkata, kali terakhir dia berjumpa isteri dan bayi lelakinya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan, pada Aidiladha lalu.

Katanya lagi, walaupun berjauhan, mereka sering berhubung menerusi panggilan video namun menyedari perubahan beberapa hari ini apabila isterinya tidak menghubunginya secara kerapa seperti biasa.

"Jika sebelum ini, isteri akan membuat panggilan video beberapa kali setiap hari tapi kebelakangan ini semakin jarang namun saya tidak mengesyaki apa-apa.

"Isteri juga sangat teruja untuk pulang ke rumah sewa kami dan sempat menunjukkan gambar barangan yang sudah siap dikemas untuk dibawa pulang.

"Selepas menghubungi saya sebelum bertolak semalam, saya sekali lagi dihubungi isteri ketika mereka sekeluarga tiba di sebuah stesen minyak di Terengganu beberapa jam sebelum kejadian dan selepas itu terus senyap sehinggalah saya mengetahui nahas yang menimpa mereka," katanya.

Nahas yang berlaku 7.15 malam tadi mengorbankan Noreha Mohamed, 53; anaknya, Raja Nurhanani Nabila, dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan manakala dua lagi mangsa yang juga adik beradik iaitu Raja Haikal Najmi, 20, serta Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13, cedera.

Sementara itu, Raja Nurhumairaa berkata, kejadian berlaku sekelip mata apabila kereta yang dipandu abangnya, Raja Haikal terbabas kerana jalan agak licin disebabkan hujan.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan sebaik saya membuka mata, saya melihat ahli keluarga lain berada di luar kereta seolah-olah tercampak malah anak saudara (Nik Muhammad Zayyan) pula di dalam longkang.

"Dalam keadaan kesakitan akibat patah tulang bahu saya menerpa ke arah abang sebelum menghampiri mak serta kakak tapi mereka sudah terbaring kaku," katanya yang kelihatan masih trauma.

Berita berkaitan:

Berulang kali kucup jenazah anak

'Isteri kata nak ke tempat sangat jauh'

3 sekeluarga maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 3:23 PM