Siti Rohana Idris

Tumpat: Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, semalam selamat dikebumikan dalam satu liang.

Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak, di sini, sebaik jenazah Noreha Mohamed, 53, anaknya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan tiba di perkarangan tanah perkuburan jam 11 pagi tadi.

Suami arwah Raja Nurhanani Nabila, Zulhilmi Ismail Yahya, 23, dilihat berkali-kali mengucup jenazah bayi lelaki mereka di pangkuannya sebelum diturunkan ke liang.

Ibu kepada Noreha iaitu Rahimah Mamat, 80, berkata, dia reda dengan kehilangan anak, cucu dan cicitnya sekaligus dalam tragedi itu.

"Baru sebulan lalu suami meninggal dunia, kali ini saya diuji dengan anak, cucu dan cicit yang maut serentak dalam tragedi yang menyayat hati.

"Saya tahu mengenai kejadian beberapa jam selepas berlaku dan memang sangat terkejut. Kami reda dengan takdir dan menganggap masa mereka sudah sampai," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal di sini, hari ini.

Zulhilmi Ismail memangku jenazah anaknya Nik Muhammad Zayyan Irfanyang maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8, LPT2, dekat Bukit Besi, semalam untuk dikebumikan dalam satu liang Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Zulhilmi Ismail memangku jenazah anaknya Nik Muhammad Zayyan Irfanyang maut dalam kemalangan di Kilometer 375.8, LPT2, dekat Bukit Besi, semalam untuk dikebumikan dalam satu liang Tanah Perkuburan Islam Kubur Kebatu, Mukim Morak, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Nahas yang berlaku jam 7.15 malam tadi itu turut membabitkan dua lagi mangsa yang juga adik beradik iaitu Raja Haikal Najmi, 20, yang memandu kereta dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 13.

Raja Nurhumairaa Nadzirah patah tulang bahu kiri dan dibenarkan pulang ke rumah manakala Raja Haikal Najmi yang patah kaki pula difahamkan baru selesai menjalani pembedahan di Hospital Hulu Terengganu, Terengganu.

Kesemua lima beranak itu dalam perjalanan ke Kem Batu 10, Kuantan untuk menghantar Raja Nurhanani Nabila yang habis berpantang di kampung halaman ke rumah sewa suaminya, di Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 12:09 PM