Nurul Sabrina Jamali dan Nur Ilyanie Hanisha

Kuala Lumpur: Pelbagai cara digunakan individu untuk menampilkan kelainan pada diri termasuk melakukan perbuatan bertindik pada anggota badan.

Walaupun ada yang menganggapnya sebagai trend ekstrem, bertindik juga hakikatnya boleh mendatangkan mudarat terutama jika dibuat di tempat tidak sepatutnya sehingga mengundang kecacatan pada anggota badan.

Ikuti pendedahan wartawan NURUL SABRINA JAMALI dan NUR ILYANIE HANISHA yang mengupas realiti di sebalik bertindik.

Salah tindik undang mudarat

Disebabkan bertindik, tulang rawan telinga Mira (bukan nama sebenar), 25, rosak berikutan kuman merebak sehingga menjadi cacat kekal.

Malah gadis itu mengaku menyesali keputusannya menindik anting-anting itu yang bermula dengan hasratnya ingin berhias secara ekstrem tetapi berakhir kecacatan telinga.

Menurut Mira, kesan tindik pada bahagian atas telinganya menjadi bengkak dan bernanah sekali gus menyebabkan kecacatan pada tulang rawan.

"Ini berlaku kerana bertindik di tulang rawan bahagian atas telinga, ia mengambil masa untuk pulih berbanding menindik di cuping telinga.

"Ketika di fasa membengkak dan bernanah, selama dua minggu saya tidak mendapatkan rawatan kerana menyangka hanya kesan biasa selepas tindik," katanya.

Menurutnya, dia mendapatkan khidmat menindik anting-anting pada 2016 sebagai perhiasan untuk membentuk keyakinan dirinya.

"Pada mulanya saya menindik anting-anting di tulang rawan telinga hanya untuk kelihatan cantik, tetapi tidak tahu pula kesannya boleh seteruk ini," katanya.

Mira berkata, kecacatan kekal itu ditegur ibu selepas melihat telinganya tidak lagi sempurna.

"Ibu menegur selepas melihat telinga saya. Dia menasihati supaya jangan menindik lagi kerana mungkin akan mendatangkan kesan lebih teruk," katanya.

KESAN kecacatan pada tulang rawan telinga Mira.
KESAN kecacatan pada tulang rawan telinga Mira.

Seorang lagi gadis, Husna (bukan nama sebenar), 22, mengakui dia menyesal menindik di batang hidung yang menyebabkannya mengalami komplikasi.

Menurutnya, daging di hidungnya mula ditumbuhi keloid dan mengambil masa untuk pullih.

"Keloid itu merebak di hidung sehingga saya sendiri takut melihat wajah berikutan menjadi pelik dan sukar dirawat.

"Namun selepas dua minggu, saya terus mencabut tindik itu bagi mengelakkan kesan lebih buruk," katanya.

Husna berkata, dia ada menyapu krim bagi mengelakkan keloid itu menjadi lebih teruk dan merebak di wajahnya.

'Tak kisah kena kecam'

"Saya tengok rakan membuatnya, jadi saya pun cuba tindik," kata Erin (bukan nama sebenar), 22, yang mengambil keputusan menindik anting-anting di bahagian sulitnya disebabkan ingin kelihatan cantik.

Erin berkata, dia mula menindik anting-anting pada 2020 dan mengakui kesakitan ketika proses tindik itu dilakukan hanya seperti digigit semut.

Katanya, dia juga menindik di lidah, hidung dan telinga sebagai perhiasan diri untuk kelihatan lebih cantik.

Menurutnya, dia tidak kisah jika dirinya dikecam kerana beranggapan bukan dirinya sahaja yang sudah melakukan khidmat tindik di bahagian sulit, tetapi ramai lagi generasi milenial yang mengikuti trend ini.

Sementara itu, keinginan untuk kelihatan lain menjadi salah satu punca untuk bertindik sebelum menyesal di atas tindakan yang dilakukan.

ERIN.
ERIN.

Hanya mahu dikenali sebagai Ca-ah, 24, dia mengakui amat obses dengan perhiasan ini membuatkan dirinya mempunyai 22 jenis tindik di badan termasuk leher sejak 2017.

"Saya pernah tindik di leher dan kini ada 12 jenis tindik di muka. Empat di telinga, lidah, bibir, dua di kening serta hidung dan yang lain di bahagian badan.

"Bagi saya, tidak semua orang berani bertindik, tetapi disebabkan ingin kelihatan lain daripada lain, saya beranikan diri untuk mencuba sesuatu yang ekstrem.

"Tindik ada banyak jenisnya dan jika piercing yang saya ada sama dengan orang lain, saya akan tambah dan jadikan ia lebih ekstrem supaya berbeza," katanya.

Menurutnya, dia meminati reptilia, justeru jenis tindik ular antara digunakan kerana baginya, nama digelarkan pada spesies itu amat unik.

"Saya suka pada ular sehingga saya jadikan tindik jenis snake bites (di bibir) sebagai tindik pertama saya di muka selain snake eyes (di bahagian lidah)," katanya.

Ca-ah berkata, dia sanggup menghabiskan kira-kira RM1,000 untuk bertindik berikutan ingin memiliki semua jenis tindik yang digemari.

"Kos digunakan untuk bertindik memang tinggi dan berbeza jumlahnya mengikut jenis, tetapi disebabkan obses dengan perhiasan ini, saya sanggup.

"Kira-kira RM1,000 sudah dihabiskan untuk menindik, tetapi ada yang kawan saya belanja," katanya.

Menurutnya, perhiasan yang dimiliki membuatkannya berpuas hati, namun bila umur sudah meningkat, rasa menyesal mula timbul.

"Buat masa sekarang, memang seronok tetapi bila dah tua nanti, saya bakal menyesal," katanya.

ANTARA peralatan yang dgunakan untuk menindik.
ANTARA peralatan yang dgunakan untuk menindik.

Remaja 16 tahun paling ramai tindik

Bertindik secara ekstrem kini menjadi ikutan segelintir golongan muda walaupun menyedari perbuatan itu mempunyai risiko kecacatan pada anggota badan serta boleh membawa maut.

Seorang tukang tindik yang enggan identitinya didedahkan berkata, dia menerima ramai pelanggan setiap hari tanpa mengira umur, bangsa dan jantina.

Katanya, kebanyakan pelanggannya masih muda dan paling ramai adalah dalam lingkungan 16 tahun yang menindik di hidung, bibir dan pipi.

"Ramai juga yang datang untuk bertindik adalah golongan muda Islam. Mereka mahu kelihatan cantik dan lain daripada orang lain.

"Mereka juga tahu jika salah tindik, mereka boleh cacat dan paling teruk nyawa melayang jika tempat tindik berlaku jangkitan kuman.

"Individu yang mahu membuat tindik mesti dapatkan tukang tindik yang menitikberatkan kebersihan termasuk peralatan dan lokasi digunakan," katanya.

DR Moonyza.
DR Moonyza.

Sementara itu, Pakar Perunding Dermatologi Hospital Kuala Lumpur Dr Moonyza Akmal berkata, aktiviti ini dilakukan oleh sesetengah golongan yang mempunyai masalah emosi.

Menurutnya, kajian menunjukkan aktiviti bertindik berkait rapat dengan perbuatan berisiko tinggi seperti masalah emosi dan ingin menjadikan kesakitan menindik sebagai proses healing (penyembuhan).

Katanya, pemikiran sebagai proses healing itu sebenarnya adalah cara yang salah dilakukan, malah mereka sepatutnya mendekatkan diri dengan ajaran agama dan menjauhi perbuatan berisiko tinggi yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

Dr Moonyza menasihati sekiranya individu perlu bertindik atas alasan yang munasabah, lakukan di tempat bersih dan menjaga kebersihan bahan digunakan demi mengelakkan jangkitan kuman.

Katanya, jangkitan kuman mampu merebak ke seluruh badan.

"Jangkitan sistemik adalah jangkitan yang boleh merebak ke bahagian lain badan seperti HIV, Hepatitis B, Hepatitis C serta endokarditis.

"Cacar monyet juga berkemampuan berlaku jika kurangnya penjagaan kebersihan dan kontaminasi larutan yang digunakan ketika atau selepas bertindik.

"Parut atau keloid iaitu lebihan kulit atau tisu yang terjadi semasa penyembuhan luka disebabkan bertindik boleh mengakibatkan individu menerima body disfigurement (kecacatan fizikal)," katanya.

Menurutnya, individu yang alergi pada bahan digunakan semasa bertindik atau penggunaan bahan kemas pada lubang tindik boleh mengalami komplikasi teruk.

Dr Moonyza berkata, rawatan diberikan kepada pesakit adalah antibiotik, ubat alahan, antihistamin serta pengeluaran alat atau bahan punca alahan.

"Namun bagi pesakit yang memiliki keloid, prosedur suntikan ubatan steroid pada keloid akan digunakan serta jika ia teruk, pembedahan mungkin dijalankan," katanya.

DR Fadzlina.
DR Fadzlina.

Pakar Estetik Klinik Idealyst Dr Fadzlina Mohtar berkata, bahagian tindik yang menerima jangkitan kuman dan tidak dilakukan dengan betul mengambil tempoh lama untuk sembuh.

"Penyembuhan jangkitan kuman di tulang rawan mengambil masa lama untuk sembuh. Sepanjang komplikasi berlaku, individu bakal merasai kesakitan jika kita menyentuh telinga dan paling teruk menjejaskan keselesaan ketika tidur.

"Risiko untuk bahagian tindik itu bernanah dan membengkak sememangnya antara yang sering terjadi dan perlu menerima ubat-ubatan.

"Jika tindik dilakukan oleh golongan tidak profesional, penggunaan teknik yang tidak betul berkemungkinan berlaku iaitu membabitkan saraf terkoyak atau rosak sekali gus bakal mengakibatkan individu itu kehilangan deria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 12:01 PM