MASJIDIL Haram. FOTO AFP.
MASJIDIL Haram. FOTO AFP.
Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Malaysia merekod kematian jemaah haji pertama musim ini, membabitkan wanita berusia 57 tahun yang mengalami kegagalan jantung.

Kesihatan jemaah dari Raub, Pahang itu dikesan merosot pada 4 Jun oleh petugas perubatan di klinik maktab penginapan, sebelum kesnya dirujuk ke Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah pada 9 malam.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di bilik kecemasan pusat rawatan berkenaan pada 11.50 malam.

Setelah selesai proses dokumentasi, beliau berkata, jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat zohor keesokannya, dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Makkah.

"TH (Tabung Haji) mengucapkan takziah kepada waris jemaah itu dan mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima Allah SWT. Insya-Allah, kita akan menguruskan badal haji untuk Allahyarhamah.

"Pihak TH Pahang juga telah menziarahi ahli keluarga Allahyarhamah di Raub. Insya-Allah, kita mendoakan yang terbaik untuk Allahyarhamah serta berharap ahli keluarganya sentiasa sabar dan reda dengan apa yang berlaku," katanya tanpa mendedahkan nama arwah pada sidang media, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin, dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah.

Syed Saleh memaklumkan, Allahyarhamah tiba di Madinah bersama suami melalui kumpulan penerbangan KT05 pada 22 Mei lalu dan mereka berada di sana selama enam hari sebelum bertolak ke Makkah.

Susulan itu, beliau berkata, pihak maktab penginapan turut mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarhamah, manakala kaunselor TH sudah dua kali melawat suaminya sejak 5 Jun lalu.

Berdasarkan laporan pihak kaunselor, katanya, suami jemaah itu berada dalam keadaan baik dan reda menerima kejadian berkenaan, sekali gus tidak memerlukan kaunseling lanjut buat masa ini.

Ditanya sama ada jemaah Malaysia yang lain terkesan dengan kejadian itu pula, Syed Saleh berkata, mereka dilihat memahami situasi berkenaan tanpa mengalami sebarang impak negatif, sebaliknya ia dihadapi dalam semangat kekeluargaan.

"Malah, rakan sebilik suami Allahyarhamah turut memberi sokongan dan bantuan kepadanya. Jemaah haji sendiri mengambil inisiatif dan tanggungjawab untuk sama-sama membantu suami Allahyarhamah menyesuaikan diri dalam keadaan begini," katanya.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, seramai 22,800 atau hampir 72 peratus daripada keseluruhan jumlah jemaah Malaysia, telah selamat tiba di Tanah Suci melalui 75 penerbangan dan kesemua mereka kini berada di Makkah.

Beliau turut memaklumkan, seramai 37 jemaah sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan TH dan 10 lagi di hospital Arab Saudi, dengan kebanyakannya mengalami masalah pernafasan, jangkitan kuman, masalah jantung, gangguan emosi, sakit lutut, sakit otot serta sakit sendi.

Berikutan cuaca panas terik dengan peningkatan suhu kini mencecah minimum 32 darjah Celsius dan maksimum 45 darjah Celsius, katanya, jemaah dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan, lebih-lebih lagi menjelang kemuncak ibadah haji atau masyair, tidak lama lagi.

"TH juga menasihati jemaah supaya mengulang kaji perkara berkaitan ibadah haji; mempersiapkan diri dari segi kekuatan kerohanian seperti dengan memperbanyakkan mengaji al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat; serta mengikuti program dan aktiviti anjuran TH supaya mereka bersedia menghadapi masyair nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 12:04 PM