KENANGAN terakhir ketika Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz menyampaikan ceramah bertajuk “Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Seremban, malam tadi.  FOTO ihsan pembaca.
KENANGAN terakhir ketika Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz menyampaikan ceramah bertajuk “Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Seremban, malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“ARWAH berpesan kepada jemaah jangan tinggalkan solat walaupun sekali,” kata Imam II Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Zolkepli Mahadi.

Zolkepli, 49, yang juga bendahari surau berkenaan berkata, beliau tidak menyangka kehadiran Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz ke surau itu malam tadi menjadi detik terakhir sebelum meninggal dunia 7.30 pagi ini.

Katanya, pihaknya menjemput Allahyarham untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’ sejak dua bulan lalu bertujuan mengimarahkan surau.

“Arwah mengajar kami supaya memperbetulkan sebutan ‘Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh’.

“Paling terkesan arwah nasihat supaya tidak tinggal solat kerana orang tidak solat tidak menerima apa-apa biarpun ahli keluarganya mengadakan majlis tahlil,” katanya ketika ditemui di surau itu, hari ini.

Zolkepli berkata, arwah meminta jemaah bertanyakan soalan dan jangan menyimpannya di dalam hati.

“Ceramah disampaikan sangat bermanfaat dan memuaskan hati 200 jemaah yang hadir. Saya ada melihat arwah menarik nafas tiga kali, namun keadaannya saya tidak pasti.

“Sewaktu melakukan iqamat untuk solat Isyak, saya menjemput arwah menjadi imam, namun ditolaknya bagi memberi peluang kepada orang lain.

“Apabila majlis berakhir, saya dapat bersalaman dan meminta maaf jika ada kekurangan. Saya sempat memeluk Allahyarham dan sedih apabila mengenangkan saat itu,” katanya.

SUDIN mengemas meja kuliah digunakan Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Seremban.  FOTO Adzlan Sidek.
SUDIN mengemas meja kuliah digunakan Ustaz Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Andainya Ini Ramadan Terakhir’ di Surau An Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan, Seremban. FOTO Adzlan Sidek.

Beliau berkata, ketika menjamah makanan arwah hanya menikmati karipap dan air disediakan.

Ditanya mengenai tajuk ceramah malam tadi, katanya, pada asalnya pihak surau menggunakan tajuk ‘Di Ambang Ramadan’.

“Pada saat akhir, ada seorang jemaah memberi pandangan supaya ditukarkan tajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’. Ia dimuat naik di laman sosial dan kain rentang tanpa sempat dikemaskini,” katanya yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

Sementara itu, Imam I, Sudin Pongat, 47, berkata beliau hadir ke ceramah sedikit lewat berikutan baru tiba dari Johor Bahru.

“Saya sempat mengikuti ceramah dan mendapati saf lelaki serta wanita dipenuhi jemaah. Sewaktu mahu pulang, saya menjadi orang terakhir bersalaman dengan arwah.

“Saya amat terkejut dengan pemergian arwah dan beliau (Allahyarham) adalah penceramah ‘besar’ pertama yang menyampaikan ceramah di surau ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Mahu sambung legasi tokwan'

'Negara kehilangan pakar feqah'

'Rebah selepas solat Subuh'

'Abu Hassan Din meninggal dunia'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 3:26 PM