TANGKAP layar video tular yang memaparkan arwah rebah ketika solat Subuh. Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular yang memaparkan arwah rebah ketika solat Subuh. Ihsan Pembaca
Ahmad Ismail.


Segamat: "Amanat bapa sudah kami tunaikan, inilah khidmat terakhir kami," kata Mohd Syukri Mohd Razif, 35, anak sulung Imam 1 Masjid Jamek Kampung Sermin, Mohd Razif Hussin, 62, yang meninggal dunia ketika mengimamkan solat Subuh di masjid berkenaan, pagi semalam.

Mohd Razif rebah ke bahagian hadapan mimbar pada rakaat pertama solat Subuh di masjid berkenaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Segamat (HDS).

Mohd Syukri berkata bapanya mempunyai masalah jantung dan pernah menjalani pembedahan serta dimasukkan ke hospital beberapa bulan lalu.

"Bapa memang memberi amanat untuk kami adik beradik wajib belajar menguruskan dan solat jenazah serta mahu kami menguruskan jenazahnya. Kini ia menjadi realiti dan kami reda.

"Arwah bapa sangat mengambil berat solat secara berjemaah sama ada di kediaman atau di masjid. Sejak kebelakangan ini pula, arwah banyak menghabiskan masa lapang dengan membaca al-Quran, selain aktif dengan kerja kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan di kampung ini," katanya.

Mohd Syukri Mohd Razif menunjukkan gambar arwah bapanya, Mohd. Razif Hussin. FOTO Ahmad Ismail
Mohd Syukri Mohd Razif menunjukkan gambar arwah bapanya, Mohd. Razif Hussin. FOTO Ahmad Ismail

Sementara itu, jemaah masjid berkenaan, Musa Atan, 60, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.18 pagi, ketika menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Menurutnya, arwah secara tiba-tiba hilang keseimbangan dan terhuyung hayang selepas selesai membaca surah al-Fatihah di rakaat pertama sebelum disambut beberapa jemaah yang berada berhampirannya.

"Kami baringkan dan riba dia dan turut memberi pertolongan cemas ke atas arwah sambil mengajar mengucap kalimah syahadah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi jemaah, Abd Halim Abd Wahab, 60, berkata, dia melihat wajah jenazah arwah dalam keadaan bersih dan berseri-seri.

"Wajahnya berseri seolah bercahaya kerana sepanjang hayatnya dia memang suka bantu orang tanpa mengira kaum dan agama.

"Dia (arwah) juga beberapa hari lalu, ada beritahu ahli kariah masjid yang dia mahu lepaskan urusan memasak bubur lambuk berbanding kelazimannya. Ketika itu saya menganggap kata-kata dia hanya perkara biasa, namun tidak disangka itu antara tanda pemergiannya buat selama-lamanya," tambahnya lagi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sermin, di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 2:23 PM