ANTARA lelaki yang bersembunyi dalam kebun kelapa sawit untuk elak dicekup. FOTO ihsan Polis
ANTARA lelaki yang bersembunyi dalam kebun kelapa sawit untuk elak dicekup. FOTO ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Kulai: Gara-gara bersembunyi dalam kebun kelapa sawit bagi mengelak dicekup polis dalam Op Selamat, segelintir mat rempit akhirnya keluar menyerhkan diri kerana rindu menikmati juadah hari raya, pagi semalam.

Operasi khas bermula 11 malam kelmarin hingga 5 petang semalam diadakan di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan dibantu Unit Kereta Peronda (MPV) serta Cawangan Pengangkutan bertujuan mengekang kegiatan mat rempit di sekitar Kulai.

"Dalam operasi itu, 57 orang lelaki berusia antara 17 hingga 42 tahun dikesan bersembunyi dalam kebun kelapa sawit berhampiran.

"Ketika operasi dijalankan, kebanyakan mereka masuk ke dalam kawasan kebun itu kira-kira jam 3 pagi dan cuba keluar melalui jalan tikus yang sudah dikepung polis.

"Akhirnya, pada 9 pagi semalam, seorang demi seorang penunggang motosikal ini menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu.

"Mereka dakwa tidak tahan dengan keadaan dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan lapar dan rindu juadah Hari Raya Pertama," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, 140 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan serta ubah suai ekzos.

"Ada juga yang tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan-kesalahan lain.

"Sebanyak 39 motosikal turut disita dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 11:07 AM