Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Sebuah kilang haram yang menjalankan aktiviti kitar semula di Jalan Kulai-Kota di Kulai, dekat sini dikenal pasti sebagai dalang utama yang mencemarkan Sungai Johor dengan bahan kimia berbahaya, antara Julai hingga Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan tegas sebanyak tiga kali sejak Ogos lalu terhadap pemilik kilang itu.

Katanya, hasil siasatan Bahagian Pelesenan MPKu mendapati premis tiada lesen dan menjalankan aktiviti perniagaan sebagai pusat kitar semula secara haram.

"Badan Kawalan Selia Air Johor (BAKAJ) membuat pemeriksaan dan mendapati terdapat bau yang tidak normal di dalam air terawat di loji pada 19 Julai lalu dan siasatan MPKu mendapati premis yang disyaki mencemari Sungai Johor terletak di Jalan Kulai-Kota di Kulai.

"Bahagian Pembangunan MPKu sudah mengeluarkan notis kompaun di bawah Seksyen 70(1) dan Seksyen 72(1)(b) Akta Jalan Parit dan Bangunan supaya pemilik premis meruntuhkan bangunan dalam tempoh 14 hari.

"Bahagian Perancang Bandar dan Desa MPKu pula mengeluarkan notis kompaun di bawah Seksyen 19 Akta Perancang Bandar & Desa 1976 (Akta 172) atas kesalahan menjalankan aktiviti kilang berkenaan tanpa kebenaran MPKu," katanya menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini hari ini.

Minggu lalu, Jimmy Puah mendedahkan pembuangan bahan kimia berbahaya ke Sungai Johor di Jalan Kota Tinggi-Kulai didakwa menjadi punca kejadian air berbau pandan yang menjejaskan pengguna antara Julai dan Ogos lalu.

Lapornya, hasil ujian sebuah makmal swasta terhadap air berbau pandan itu mendedahkan ia dipercayai mengandungi Tetrahydrofuran (THF) iaitu bahan digunakan untuk melarut plastik.

Mengulas lanjut, Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, pihak berkuasan membuat pemantauan berkala terhadap kilang haram itu dan pada 10 November lalu ia didapati sudah tidak lagi beroperasi.

"Namun pemantauan pada keesokan harinya pula mendapati kedengaran bunyi kerja pemotongan besi di dalam premis. Maka, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) akan terus menjalankan intipan dan cekup (menyerbu premis) dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:36 AM