NAJWA Qistina menerima ciuman daripada bapanya. Turut kelihatan ibu dan adiknya. FOTO Zain Ahmed
NAJWA Qistina menerima ciuman daripada bapanya. Turut kelihatan ibu dan adiknya. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani


“DENGAN mentadabbur makna al-Quran dan memahaminya, ia memudahkan ingatan terhadap ayat yang dihafal,” kata Najwa Qistina Za’im, 19, berkongsi rahsia menghafal 14 juzuk al-Quran selama 45 hari.

Peserta Program Tahfiz Integrasi An Nur, MaahadTahfiz Darul Furqan di Manjung Perak itu berkata teknik itu ternyata membuahkan hasil hingga membantu peserta menghafal al-Quran.

“Sebenarnya semua orang boleh menghafal al-Quran asalkan mereka memahami makna dalam al-Quran dan seterusnya beramal dalam memperjuangkan ayatnya.

“Al-Quran itu panduan hidup kita dan sebagai penghafal kita perlu memperjuangkan ayat dalam al-Quran,” katanya ditemui selepas menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Maahad Johor 2019 di Johor Bahru, hari ini.

Anugerah terbabit disampaikan Penolong Pengarah Kanan Unit Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yatimah Subni.

Turut dijemput menerima anugerah itu di pentas adalah bapanya, Za’im Basiran, 54, yang juga pensyarah Kolej Vokasional Kota Tinggi dan ibunya, Norlida Saiman, 49, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana Kota Tinggi.

Najwa Qistina yang juga tersenarai penerima Anugerah bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 Mumtaz (cemerlang) dan anak kedua dari empat beradik mengakui teknik dikongsi tahfiz itu membantu dalam menghafal al-Quran.

“Pada masa sama asas bahasa Arab sangat penting kerana dalam ayat al-Quran ada cerita dan ayat difahami memudahkan ingatan.

“Apabila kita faham maksud sekali gus kita dapat menambah perkataan dalam bahasa Arab dan kemudian kita ambil pengajaran untuk kehidupan seharian,” katanya.

Dia yang memperoleh 6 Mumtaz STAM berkata, setiap hari dia meluangkan masa lebih 20 jam untuk menghafal al-Quran di maahad tahfiz itu.

“Saya rasa persekitaran disediakan pihak tahfiz dengan menyediakan jadual padat bermula dari jam 4.30 pagi hingga 12 tengah malam untuk meluangkan masa bersama al-Quran menjadi faktor utama.

“Kami ditekankan dengan mutabaah amal, tahajud dan solat Dhuha yang dapat memberi kekuatan dalaman untuk menghafal al-Quran,” katanya.

Katanya, tidak ada masa senggang untuk menghafal al-Quran sebaliknya tumpuan sepenuh masa perlu diberikan untuk menguasainya.

“Ini kerana sepanjang hari bermula Isnin hingga Jumaat kami kena menumpukan perhatian dalam menghafal al-Quran, selain menyertai aktiviti luar pada Sabtu dan Ahad,” katanya yang menyertai program di tahfiz itu selama tiga bulan berakhir 31 Mac ini.

Najwa Qistina yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddi di Mesir berkata, amalan pemakanan sunnah termasuk kismis dan madu turut diberi keutamaan.

“Saya amal pemakanan sunnah terutama madu ketika bangun tidur dan sebelum tidur, selain turut memperbanyakkan puasa sunat,” katanya yang khatam al-Quran pada usia enam tahun.

Berkongsi akan kejayaannya meraih anugerah tokoh kepimpinan katanya, fokus dalam kelas ketika sesi pengajaran berlangsung amat penting.

“Bagi mereka yang memegang jawatan, pembelajaran di kelas sangat penting, bahkan fokus perlu diberikan selain menyiapkan kerja sekolah.

“Ini kerana jika kita gagal memberi tumpuan, sudah pasti akan ketinggalan apatah lagi aktif dalam aktiviti berpersatuan selepas sesi persekolahan selesai,” katanya yang juga bekas Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Maahad Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:41 PM