PENEMPATAN pelarian Palestin di Bandar Gaza.
PENEMPATAN pelarian Palestin di Bandar Gaza.
Nadir Al-Nuri

DI Gaza, al-Quran mempunyai peranan yang sangat penting. Melalui panduan al-Quran kalangan pemuda dibentuk supaya tidak tunduk kepada cabaran yang tidak putus dan tidak patah semangat berdepan serangan musuh yang bertali arus.

Institusi tahfiz di Gaza ini kebanyakannya dalam bentuk tidak formal dan diusahakan pemuda di masjid masing-masing. Seawal usia empat atau lima tahun, anak-anak Gaza akan dihantar untuk menghafal al-Quran di masjid setiap hari selepas solat Maghrib.

Kalau anak itu belum boleh membaca, maka gurunya akan membaca ayat yang hendak dihafal secara berulang-ulang sehingga anak-anak ini boleh menghafal melalui pendengaran.

Ketika cuti sekolah musim panas pula usaha mereka diperhebatkan dengan mewujudkan kem khas menghafal al-Quran yang dikenali sebagai Kem Tajul Waqar - nama mahkota yang akan dipakaikan oleh huffaz untuk ibu bapa mereka di akhirat kelak.

Kem Tajul Waqar ialah program untuk anak terpilih yang cepat menghafal dan setiap hari mereka dikehendaki beriktikaf di masjid menghafal al-Quran sehinggalah waktu Maghrib.

Hasilnya? Anak-anak ini dapat menghabiskan hafalan al-Quran dan bergelar al-hafiz dalam masa dua bulan sahaja!

Di Sekolah Malaysia milik kita di Gaza, kami pernah dimaklumkan berkaitan seorang budak genius dan pengalamannya dengan al-Quran.

Tahun lalu, pelajar bernama Malik Mahdi, 13 tahun datang ke Sekolah Malaysia untuk mendaftar bersama ayahnya. Dia dimaklumkan akan mendapat potongan 40 peratus daripada yuran dengan sumbangan rakyat Malaysia.

Lalu dia bertanya, saya menghafal 26 juzuk daripada al-Quran, kenapa saya tidak boleh mendapat biasiswa 50 peratus? Pengurusan sekolah kemudian memaklumkan, biasiswa 50 peratus hanya untuk pelajar yang menghafal keseluruhan al-Quran.

Malik tersenyum dan pulang ke rumah. Empat hari kemudian, dia datang semula ke sekolah dan di tangannya ada sekeping kertas.

Rupanya kertas yang dibawa Malik adalah sijil pengesahan daripada pusat tahfiz yang Malik sudah menamatkan hafalan keseluruhan 30 juzuk al-Quran!

Ya, dalam masa empat hari dia menghabiskan hafalan empat juzuk yang berbaki supaya diberikan biasiswa 50 peratus.

Inilah contoh pelajar yang sedang dibangunkan untuk memimpin Palestin pada masa depan.

Selepas matlamat kelihatan di depan mata, tidak ada yang dapat menghalang mereka.

Yang penting benih yang ditanam perlulah betul iaitu panduan dan tarbiyah Rabbani daripada intipati serta ajaran al-Quran.

Daripada pusat tahfiz inilah lahirnya pemimpin yang menghabiskan usianya memperjuangkan Palestin walaupun tidak mampu bergerak seperti Syeikh Ahmad Yasin. Daripada institusi ini, lahirnya Dr Abdul Aziz Rantisi yang memilih mati dibom helikopter Apache daripada mati di atas katil.

Daripada institusi seperti ini jugalah lahirnya Umm Nidal Farhat yang digelar Khansa' Palestin kerana menghantar bukan satu, bukan dua malah tiga anaknya sebagai syuhada' di jalan Allah.

Oleh sebab itu, kami cukup berbangga apabila antara projek kami di Gaza membantu dalam usaha ini, iaitu projek Syafaatmu Untukku.

Kejayaan kita pada tahun 2020 melahirkan 200 orang huffaz hasil sumbangan mengurus pusat tahfiz, memberikan hadiah sebagai galakan kepada anak dan upah kecil kepada guru yang mengajar mereka cukup membanggakan.

Kalangan huffaz yang akan memberikan syafaat di hari akhirat kelak, mudah-mudahan akan memandang kita dengan ihsan dan menyelamatkan kita di Hari Pembalasan hasil galakan dan sokongan kita untuk mereka ketika mereka berada di dunia.

Bersempena sambutan Nuzul Al-Quran, jom kita bersama mendekati al-Quran dan membantu kami membina generasi al-Quran di Gaza dengan harapan suatu hari nanti mereka inilah yang akan menjadi barisan hadapan pembebasan Al-Aqsa dan tunjang kegemilangan ummah.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:59 AM