Muhammad Adib (dua dari kanan) merangkul johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk, lelaki, sementara Adibah Husni (kiri) dan Aqilah Sulhi (kanan) masing-masing merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita, dan hafazan 1-20 juzuk wanita. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Adib (dua dari kanan) merangkul johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk, lelaki, sementara Adibah Husni (kiri) dan Aqilah Sulhi (kanan) masing-masing merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita, dan hafazan 1-20 juzuk wanita. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Suri


Ipoh: "Kami menghafaz sendiri-sendiri namun hanya lakukan bersama-sama tiga beradik apabila 'menebuk' (menguji hafalan) petikan ayat al-Quran untuk diperdengarkan," kata Adibah Husni Ahmad Rozaini, 25.

Dia menceritakan mengenai kaedah hafazan yang dilakukan bersama dua adiknya.

Adibah Husni adalah kakak kepada Aqilah Sulhi Ahmad Rozaini, 24, dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini, 22, yang ketiga-tiga mereka merangkul johan untuk tiga kategori berbeza Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri sesi 2022M/1443H di sini, baru-baru ini.

Dalam pertandingan itu, Adibah Husni yang mesra disapa Adibah merangkul johan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita manakala Aqilah Sulhi (Aqilah) dan Muhammad Adib (Adib) masing-masing merangkul johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk wanita dan hafazan 1-20 juzuk lelaki.

"Dari segi latihan menghafaz, kami tiga beradik lakukan secara sendirian tetapi kalau untuk menguji hafalan (tebuk) petikan ayat al-Quran, kami lakukan bertiga dan saling uji-menguji satu sama lain. Dia 'tebuk' saya, kemudian saya 'tebuk' dia.

"Memandangkan kami bertiga lepasan sistem pembelajaran madrasah, jadi kaedah hafalan kami serupa yang tidak lari dari tiga kaedah iaitu Sabak, Sabki dan Manzil.

"Sabak ialah hafalan baharu yang akan diperdengarkan setiap hari kepada guru. Sabki pula adalah mengulang hafalan pada juzuk tertentu yang sedang dihafal manakala Manzil adalah mengulangi juzuk yang sudah dihafal. Secara amnya, ketiga-tiga kaedah hafalan itu kami gunakan.

"Persediaan dalam pertandingan peringkat negeri kali ini kami buat seawal Januari lalu," kata Adibah yang kini berkhidmat sebagai guru di Maahad Tahfiz Al-Fatih, Pengkalan Hulu bersama dengan Aqilah kepada Metro Ahad.

Anak sulung daripada sembilan beradik itu berkata, minat kepada hafazan al-Quran dipupuk sejak di sekolah rendah termasuk daripada dorongan bapa, Ahmad Rozaini Ahmad Rozaini Abdul Rahman, 53, yang sering menekankan mengenai pendidikan agama kepada semua adik-beradik.

"Adik pun sama, semua ayah terapkan mengenai al-Quran sejak kami di sekolah rendah. Selepas menamatkannya, ayah menghantar kami memasuki pengajian madrasah ke maahad tahfiz hingga boleh dikatakan kami adik-beradik semua datang dari bidang serupa iaitu aliran agama.

"Tamat sahaja pengajian madrasah di Pulau Pinang pada usia 16 tahun, saya iaitu anak sulung dan Aqilah yang adalah anak kedua mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta pengajian sanawi selain daripada sijil syahadah tahfiz Al-Quran dan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat.

"Manakala, Adib iaitu anak ketiga sehingga kini dia masih adalah seorang penuntut ilmu di pondok pengajian kitab yang diusahakan ayah di Kampung Banggol Batu, Lenggong selepas menamatkan pengajian madrasah di sebuah maahad tahfiz juga di Pulau Pinang," katanya.

Adibah berkata, imej sebagai 'al-hafiz' atau 'al-hafizah' turut datang bersama tanggungjawab besar khususnya dalam menjaga akhlak keperibadian seperti cara pergaulan, hubungan dengan Yang Maha Esa serta amalan baik, selain daripada harus melazimi hafalan al-Quran agar tidak pudar dari ingatan.

"Perkara paling penting adalah harus sentiasa istiqamah menghafaz, menjaga batas pergaulan, serta menjauhi perkara lagha (melalaikan). Memang kena sentiasa menjaga kesemuanya atau jika tidak hafalan akan beransur hilang dari ingatan. Pernah juga saya merasai pengalaman apabila rasa bersalah hadir selepas menyedari diri agak tersasar. Namun apabila ia terjadi kita harus usaha untuk pulang dan muhasabah memikirkan kembali mengenai amalan yang ditinggalkan, selain kembali menguatkan azam dan kembali menghayati al-Quran.

"Apatah lagi dengan kemenangan kami bertiga kali ini, boleh dikatakan kami bakal membawa nama yang besar bukan sahaja untuk Perak, malah secara amnya untuk melambangkan golongan penghafal al-Quran. Jadi semua itu perlu dijaga," katanya.

Adibah berkata, acara berkenaan adalah kali ketiga dia bersama dua adiknya itu sertai bagi pertandingan hafazan peringkat negeri sejak 2020, yang mana penyertaan pada tahun lepas menyaksikan dia dan Aqilah merangkul johan manakala Adib sekadar menduduki naib johan bagi kategori sama seperti tahun ini.

Katanya, bagaimanapun tiada acara Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan diadakan berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 7:00 AM