Shahronizam Noor cedera ketika memotong ayam
Shahronizam Noor cedera ketika memotong ayam
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya reda sajalah, nak kata macam mana. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Jari kelingking yang putus ini memang tidak boleh disambung lagi," kata pelakon Shahronizam Noor, 51, yang cedera ketika memotong ayam di rumahnya, malam kelmarin.

Shahronizam dihubungi berkata, dia bertindak memotong ayam yang masih beku itu untuk diberi makan kepada kucing-kucing dirumahnya yang lapar selepas sehari ditinggalkan kerana bermalam di rumah ibu mentuanya.

"Pada malam kejadian, Isnin lalu, jam 9 lebih, saya balik ke rumah selepas berbuka puasa dan habis penggambaran drama Isteri Halal pada hari itu. Sampai di rumah, saya tengok kucing-kucing dah kelaparan.

"Selepas membersihkan segala kotoran, saya terus ke peti sejuk mengambil ketulan ayam yang masih beku dan ingat nak potong kecil-kecil biar kucing cepat dapat makan. Tapi, mungkin ayam itu terlepas dari pegangan dan jari saya ke depan, langsung terpotong," katanya kepada Harian Metro.

Selepas dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan pembedahan, Shahronizam berkata doktor memaklumkan jarinya yang putus itu terkena urat besar dan sekiranya disambung akan merosakkan urat berkenaan.

"Doktor juga tidak memberitahu saya peluang untuk jari yang putus pulih berapa peratus sekiranya disambung semula. Malah kata doktor, kalau jari (kelingking) itu tidak berfungsi selepas disambung, saya kena melakukan pembedahan lagi.

"Cukuplah saya lalui satu pembedahan saja untuk menghentikan pendarahan kerana sakitnya hanya Allah yang tahu. Saya tiada pilihan lain dan reda jari kelingking yang putus ini tidak boleh disambung lagi," katanya.

Memaklumkan terpaksa cuti penggambaran drama Isteri Halal seketika, Shahronizam berkata buat masa sekarang dia perlu ke klinik untuk membuat 'dressing' setiap dua hari sekali sebelum berjumpa doktor pakar pada 17 April ini.

"Alhamdulillah ketika buat 'dressing' tadi, doktor periksa tak ada nanah pada tempat terpotong itu, pembedahan dilakukan kelmarin elok dan Insya Allah, proses pemulihan akan cepat," katanya terpaksa memberitahu ibu bapa di kampung selepas media melaporkan insiden itu.

Menurut Shahronizam, dia pada mulanya mahu merahsiakan berita kecederaan dialami daripada pengetahuan ibu bapanya di kampung, Taiping, Perak kerana tidak mahu mereka sedih dan berasa risau.

"Saya ingat nak beritahu ibu bapa ketika balik berhari raya nanti. Tapi, apabila media sudah melaporkannya, saya hubungi mereka pagi tadi untuk memaklumkan kisah sebenar. Alhamdulillah, mereka faham dan dapat menerimanya," katanya.

Terdahulu, kejadian malang menimpa Shahronizam yang juga suami pelakon dan penyanyi Safura Yaacob itu mendapat perhatian ramai selepas anak tirinya, Daniel Hairi membuat perkongsian di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 4:10 PM