GAMBAR kenangan bapa Noorizlea, Mohd Izham (kiri), manakala jemaah umrah, lelaki Arab (kanan) yang memiliki wajah seiras ditemui di Tanah Suci. FOTO IHSAN NOORIZLEA MOHD IZHAM.
GAMBAR kenangan bapa Noorizlea, Mohd Izham (kiri), manakala jemaah umrah, lelaki Arab (kanan) yang memiliki wajah seiras ditemui di Tanah Suci. FOTO IHSAN NOORIZLEA MOHD IZHAM.
Noor Hidayah Tanzizi

Butterworth: "Akhirnya Allah SWT jawab doa kami dan beri peluang bertemu wajah seiras arwah papa di Mekah malah boleh dikatakan lelaki itu memang sangat mirip seperti papa termasuk gaya, badan dan mimik mukanya," kata Noorizlea Mohd Izham.

Noorizlea, 37, merasa bertuah apabila harapannya untuk berjumpa wajah mirip bapa, Mohd Izham Mohd Noor yang meninggal dunia pada 7 April 2016 dimakbulkan.

Kisahnya juga mendapat perhatian di TikTok dan mengundang rasa terharu dan sebak warganet yang rata-ratanya turut gembira dengan rezeki yang tidak diduga di Tanah Suci.

Berkongsi kisah itu, pengasas produk kosmetik itu berkata, dia bersama adiknya, Noorizraina, 33, ke Tanah Suci menunaikan umrah pada 7 Januari lalu hingga 18 Januari.

Menurutnya, rezeki berselisih jemaah lelaki yang seiras bapanya itu hadir ketika dia bersama adiknya melakukan saei pada 11 Januari lalu dan ketika itu mereka melakukan rukun umrah itu menaiki skuter.

"Kebetulan ketika itu kami naik skuter dan di pusingan keempat tiba-tiba adik terlihat seorang jemaah lelaki Arab seiras papa. Ketika itu dia di arah bertentangan dan selepas itu kami tegurnya.

"Kami beritahu wajahnya seperti bapa kami dan rakannya minta mahu melihat gambar papa serta turut mengakui wajah papa dan lelaki itu sama.

"Wajah mereka memang sama kerana papa juga kacukan Yaman. Dagu berlapisnya, cermin mata, saiz badan, gaya dan mimik mukanya memang sama cuma dia lebih putih dari papa," katanya yang menyifatkan bapanya seorang bertanggungjawab dan penyayang biarpun agak garang.

Noorizlea berkata, mereka ketika itu terharu dan tergamam melihat wajah yang dirindui berada di depan mata biarpun hakikatnya lelaki itu bukan bapa kandung mereka.

"Rasa macam nak peluk dan cakap 'papa, kami rindu sangat' tetapi kami masih tahu batas, namun sangat bersyukur Allah SWT berikan rezeki itu kerana sudah lima kali saya ke sana dan doa minta diberi peluang berjumpa muka seiras papa.

"Kami kemudiannya minta izin untuk mengambil gambarnya dan terus secara spontan lelaki itu meletakkan tangan di perut dan mimik wajahnya sama seperti gaya yang selalu papa buat.

"Cuma saya sedikit terkilan sebab tak teringat mahu ambil gambar bersama tetapi peluang itu dapat mengubat sedikit kerinduan kami pada papa," katanya yang tinggal di Butterworth, di sini.

Katanya, mereka berdua bukan tidak reda dengan pemergian bapanya cuma masih merinduinya, malah bapanya juga 'pergi' secara tiba-tiba apabila meninggal dunia dalam tidur pada usia 59 tahun kerana oksigen tidak sampai ke kepala.

"Papa seorang yang suka mengamalkan gaya hidup sihat dan rajin berjoging setiap hari. Ketika itu papa sihat saja tetapi kami reda kerana sudah sampai masanya papa dijemput Ilahi.

"Papa disedari sudah tiada apabila mama sedar dan dia masih belum bangun tidur pada jam 6 pagi kerana setiap hari arwah akan bangun 5.30 pagi.

"Malam sebelum dia meninggal dunia saya singgah di rumahnya selepas pulang kerja cuma kami tidak bersembang panjang dan dia hanya mengangguk apabila saya tanya sudah makan ke, sebelum papa masuk tidur," katanya.

Berhubung video dikongsinya di TikTok, Noorizlea berkata, dia hanya mahu berkongsi cerita yang Allah SWT sentiasa mendengar doa hamba-Nya.

"Kita sebagai hamba-Nya jangan berputus asa dan sentiasa memohon pada-Nya... Allah SWT itu maha mendengar dan penyayang. Insya-Allah, doa kita akan dimakbulkan dalam macam-macam cara.

"Rupanya saya dan adik selalu berdoa perkara sama cuma kami tak saling cerita. Kami anggap ini rezeki Allah SWT bagi untuk kami berdua berselisih dan berjumpa dengan wajah seiras papa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 9:14 PM