Serina Redzuawan, 38, melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Aidid, hari ini.
Serina Redzuawan, 38, melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Aidid, hari ini.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Serina Redzuawan, 38, melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya dikenali sebagai Aidid, hari ini.

Serina berkata, majlis pernikahannya itu dibuat secara tertutup dan bersyukur akhirnya dipertemukan dengan jodoh yang terbaik buatnya.

"Bismillahirahmanirahim, sempena hari Jumaat penuh keberkatan, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT, saya nak umumkan saya selamat mendirikan masjid bersama suami.

"Majlis nikah kami secara tertutup. Alhamdulillah diselesaikan yang wajib dulu. Benar jodoh pertemuan, ajal itu rahsia Allah. Kita yang lahir di bumi semuanya sudah tertulis di kitab Loh Mahfuz. "Alhamdulillah, dialah terbaik yang Allah kirimkan buatku untuk menjadi imam serta khalifah dalam keluargaku," katanya menerusi satu hantaran di Instagram.

Serina turut bersyukur perkahwinan itu mendapat restu bapanya juga cef selebriti terkenal, Chef Wan.

"Terima kasih papa merestui perkahwinan kami. Insya-Allah selepas Adilfitri kita buat kenduri doa selamat dan makan di restoran papa. Terima kasih juga kepada keluarga serta sahabat yang tak putus beri Serina dan Aidid semangat serta doa," katanya.

Perkahwinan ini adalah yang kedua buat Serina. Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada 2010.

Mereka kemudian bercerai pada 2017.Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:49 PM