EZAD akan beraksi bersama Exists untuk konsert di Singapura pada Jumaat dan Sabtu ini.
EZAD akan beraksi bersama Exists untuk konsert di Singapura pada Jumaat dan Sabtu ini.
Ridzuan Abdul Rahman


REZEKI tidak pernah salah alamat.

Justeru, penyanyi Ezad Lazim, 44, bersyukur apabila tahun 2022 yang berlalu membawa keceriaan buatnya apabila tidak putus-putus menerima undangan nyanyian.

Malah, kemunculan ramai penyanyi era masa kini juga tidak menjejaskan populariti Ezad yang dikenali dengan 'trademark' vokal lemak merdu dan memikat.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim mengharapkan kehadiran tahun 2023 yang baru memasuki hari ke-13 lebih menyerlahkan sinar dalam kariernya.

"Seperti semua orang, saya berharap agar tahun ini lebih memberi sinar kebahagiaan dan kejayaan dalam karier dan kehidupan.

"Juga semoga saya diberikan kesejahteraan dan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala kesulitan. Sebagai anak seni saya sentiasa bertekad dapat meluaskan lagi skop kerjaya ke arah yang lebih baik. Saya juga berhajat dapat menunaikan haji bersama isteri," katanya.

Memandangkan lagunya bersama Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar atau judul di Indonesia Buih Jadi Permaidani kembali mencetuskan fenomena selepas dinyanyikan YouTuber Indonesia, Nabila Maharani Widyadewi secara duet dengan Zinidin Zidan, dia melahirkan keinginan untuk beraksi di negara itu.

"Sebenarnya dari dulu lagi saya teringin nak ke sana, cuma tak pernah dapat saluran yang betul. Saya amat berharap dapat buat penampilan besar di Indonesia," katanya.

Bercerita lanjut, Ezad berkata, rezekinya kini seimbang antara kerjaya solo dan juga bersama Exists.

EZAD pasang hasrat  buat persembahan di Indonesia selepas Buih Jadi Permaidani  berkumandang di sana.
EZAD pasang hasrat buat persembahan di Indonesia selepas Buih Jadi Permaidani berkumandang di sana.

"Alhamdulillah, November lalu saya buat persembahan solo Jiwa & Lagu Ezad Lazim di Langkawi. Persembahan dua malam penuh dan dapat sambutan yang baik.

"Bukan setakat orang Langkawi dan berdekatan saja tapi peminat dari Sabah dan Sarawak serta Singapura pun datang bagi sokongan. Ia sudah membuktikan kejayaan persembahan itu.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki kita kekalkan lagi konsep ini untuk masa-masa akan datang. Maknanya saya bukan hanya menyanyikan lagu Exists tapi juga lagu-lagu malar segar, lagu-lagu lama dan juga lagu-lagu artis legenda. Ia seperti satu konsep yang berbeza," katanya.

Dalam masa yang sama, rezekinya bersama Exists tetap ada apabila akan beraksi di Singapura pada 13 dan 14 Januari ini.

"Selain itu Exists pun ada perancangan buat konsert di Sarawak dan Sabah serta ke seluruh negara. Sebenarnya perancangan dibuat dari dulu tapi masing-masing sibuk.

"Saya difahamkan Jun nanti ada konsert Exists di DFP (Dewan Filharmonik Petronas). Syukur Exists juga ada undangan buat persembahan untuk stesen radio dan TV. Ia rezeki Exists untuk tahun ini.

"Apa yang berlaku menjadikan ia sebagai rezeki yang seimbang antara karier solo dan berkumpulan," katanya.

BERSYUKUR karier solo dan berkumpulan berjalan seiring.
BERSYUKUR karier solo dan berkumpulan berjalan seiring.

Untuk karier solonya, Ezad baru selesai terbabit dalam single runut bunyi untuk drama bersiri Akira Khan yang akan bersiaran di Astro.

"Lagu berjudul Akira ini dinyanyikan secara duet oleh saya dan Salma Asis. Saya tak terbabit sebagai pelakon cerita ini. Menyentuh berkenaan lakonan, pembabitan saya sekarang memang agak berkurangan. Apabila ada undangan persembahan, komitmen lebih banyak kepada nyanyian.

"Kalau lakonan, selalunya penggambaran ambil masa yang lama. Kadangkala ia bertindih dengan jadual-jadual yang ada," katanya.

Ezad memaklumkan ada didatangi tawaran untuk drama 13 episod dan terpaksa menolak buat masa ini.

"Saya kena tengok kesesuaian mana yang sempat buat. Ikutkan saya masih minat berlakon. Semasa pandemik dulu, tawaran menyanyi memang kurang, manakala tawaran berlakon pula banyak.

"Itulah sebabnya saya berlakon drama antaranya 7 Hari Mencintaiku dan Misi Anak Bulan. Sekarang tawaran menyanyi pula banyak. Insya-Allah, ada rezeki saya akan berlakon semula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 6:40 AM