EXISTS akan buat konsert di Indonesia pada Ogos depan.
EXISTS akan buat konsert di Indonesia pada Ogos depan.
Norhayati Nordin


SELAIN Search dan Wings, Exists juga mempunyai kelompok peminat tersendiri. Banyak lagu mereka yang malar segar dan masih popular di stesen radio.

Lagu seperti Untukmu Ibu, Jesnita, Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu dan banyak lagi membuatkan Exists semacam tidak perlu muncul dengan lagu baharu.

Malah, Exists yang meledak nama mereka pada awal 1990-an lalu dianggotai Mamat dan Ezad sebagai penyanyi, Musa (bass), Along (gitar), Ujang (dram) dan Ajai (keyboard).

Kemunculan Exists di pentas nyanyian sentiasa ditunggu ramai dan buktinya pada konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) awal Jun lalu yang mencatat rekod penjualan tiket 'sold out'.

Ezad berkata, sokongan peminat terhadap Exists tetap padu dari dulu hingga kini,

Katanya, Exists juga teruja apabila mereka mendapat undangan untuk menyertai konsert The 90s Festival pada 12 dan 13 Ogos depan di Indonesia.

"Kami adalah wakil tunggal dari Malaysia yang akan beraksi dalam konsert itu. Apa yang menarik, Exists turut berpeluang berkongsi pentas dengan pemuzik antarabangsa seperti The Cardigans dan 911.

Mamat (duduk tengah) bersama anggota Exists. FOTO STP
Mamat (duduk tengah) bersama anggota Exists. FOTO STP

"Apa pun, kami melihat pembabitan dalam konsert Gambir Expo, Kemayoran, Jakarta itu sebagai 'reset' untuk Exists kembali memeriahkan industri muzik di Indonesia.

"Ditambah lagi, kami pun ada ramai peminat di sana dan sudah lama tidak buat konsert di sana.

"Jadi, tawaran undangan itu adalah satu peluang besar untuk kami Exists. Terutama berada satu pentas dengan beberapa penghibur terkenal dunia, selain meraih bayaran persembahan sangat berbaloi," katanya.

Menurut Ezad, tidak mudah juga Exists menerima tawaran konsert itu pada mulanya kerana bimbang ditipu. Bagaimanapun, mereka banyak bertanya rakan artis dari negara republik itu bagi mendapatkan kepastian.

"Sebenarnya pada setiap tahun Exists ada saja menerima tawaran persembahan daripada penganjur di Indonesia. Namun, ada saja halangan tertentu yang membuatkan kami akur tiada rezeki.

"Malah, kami juga bimbang ditipu. Takut nanti bila dah pergi sana, 'tup tup' kami kena beli tiket balik sendiri ke Malaysia pula. Alhamdulillah nampaknya penganjur ini amat profesional," katanya.

Tidak hanya persembahan itu, Exists juga berbesar hati dipilih muncul menjayakan Konsert Hausboom Music 2023 pada 9 dan 10 September depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:20 AM