Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: "Arwah meninggalkan empat anak dan sekarang menjadi persoalan siapa yang akan menjaga mereka.

"Saya sendiri tidak menyangka suami isteri itu dipisahkan serentak," kata Hamizura Osman, ibu saudara kepada Rosnah Ahmad, 44, yang maut bersama suami, Azranawi Radzi, 42, dalam kemalangan, semalam.

Pasangan suami isteri itu meninggal dunia selepas skuter Kymco ditunggangi Azranawi dan dibonceng Rosnah terbabit nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 2.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, dekat Kota Tampan, Lenggong, kira-kira 6.15 petang.

Hamizura berkata, pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah, membabitkan tiga lelaki serta seorang perempuan, masing-masing berusia 16, 14, 12 dan tujuh tahun.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan antara ahli keluarga mengenai penjagaan anak yang ditinggalkan pasangan itu.

"Mungkin antara kami ahli keluarga tiada masalah dan boleh menjaga mereka namun kasih sayang seperti ibu dan ayah kandung tidak serupa.

"Kalau boleh, kami hendak jaga keempat-empatnya dan perbincangan akan dibuat selepas ini untuk tidak memisahkan penjagaan antara empat beradik itu walaupun secara logiknya siapa sahaja yang mampu dan sanggup menjaga keempat-empatnya serentak," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik, di sini, hari ini.

Kelihatan di pekarangan Unit Forensik itu adalah waris kedua-dua belah keluarga pasangan itu, namun tiada kelibat empat anak yang ditinggalkan pasangan itu di situ.

Menceritakan keakrabannya dengan suami isteri itu, Hamizura berkata, dia yang mempertemukan jodoh mereka berdua kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, selain pertalian darah dengan Rosnah, dia dan suaminya turut rapat dengan Azranawi yang bekerja sebagai penguat kuasa di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak sekian lama.

"Saya dan suami berkawan dengan arwah Azranawi sudah lama. Kami mempertemukan Azranawi dengan Rosnah yang juga anak saudara saya ketika usia Azranawi 24 tahun," katanya.

GAMBAR kenangan arwah Azranawi dan Rosnah bersama empat anak mereka. FOTO Tular
GAMBAR kenangan arwah Azranawi dan Rosnah bersama empat anak mereka. FOTO Tular

Sementara itu, abang sulung Rosnah, Zamzuri Ahmad, 52, menyifatkan pasangan suami isteri itu pemurah dan mereka gemar membelanja saudara-mara.

"Malah, arwah Azranawi dan Rosnah sering memberi potongan harga kepada rakan yang bertandang di gerai makan diusahakan mereka di Manjoi, Ipoh. Mereka berdua memang bukan jenis orang yang terlalu berkira," katanya.

Katanya, dia difahamkan kejadian berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang dari Gerik menghala Ipoh bersama konvoi motosikal dengan rakan lain.

Jenazah pasangan itu siap dikafan dan meninggalkan pekarangan Unit Forensik Hospital Gerik jam 11.43 pagi tadi untuk dihantar ke Masjid An-Nur Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 2:06 PM