Romi Sofha Rastam.
Romi Sofha Rastam.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Arwah Romi merancang bawa bapa kandungnya yang berusia 74 tahun untuk tunaikan umrah tahun ini tetapi nampaknya ia tidak kesampaian," kata pelakon veteran Rosnah Mat Aris ketika diminta mengulas pemergian anak sulungnya, Romi Sofha Rastam Shaharom, 50, Sabtu lalu.

Menurut Rosnah, 68, berita pemergian Allahyarham Romi yang juga anak sulung dari empat beradik itu turut mengejutkannya sekeluarga.

"Walaupun sudah bercerai, hubungan saya dengan anak-anak dan cucu termasuk Romi sangat rapat.

"Setahu saya, Romi memang tiada sebarang penyakit dan tidak pernah dimasukkan ke hospital sebab itu kami sekeluarga terkejut bila pihak Hospital Kuala Lipis sahkan arwah meninggal dunia kerana serangan jantung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi pemergian Romi lagi, kata pelakon filem 3 Janda Melawan Dunia itu, dia dimaklumkan rakan arwah yang terbabit dalam konvoi bermotosikal itu, anak sulungnya itu pergi dalam keadaan mudah.

"Arwah beritahu rakan konvoi motosikalnya, dia berasa sakit dada dan mahu turun dari motosikal sekejap di Sungai Koyan.

"Selepas muntah dua kali, dia beritahu rakan mahu pitam dan terus pengsan selepas itu.

"Rakan arwah beritahu dia juga sempat mengajar Romi mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia dibawa ke klinik dan disahkan meninggal dunia.

"Saya juga dimaklumkan salah seorang anak (adik Romi) yang turut membantu memandikan jenazah, wajah arwah tenang dan nampak senyum sahaja," katanya.

Berkongsi kenangan yang sukar dilupakan pula, kata Rosnah, arwah Romi sangat suka makan lemang dengan Ayam Masak Merah yang juga air tangannya.

"Sebelum pergi aktiviti konvoi motosikal pun, rakan dia beritahu, arwah mahu makan lemang dulu."Saya juga sempat masakkan arwah Sotong Goreng Kunyit, Rabu lalu," katanya.

Terdahulu, Rosnah memberitahu anak sulungnya, Romi meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang, Sabtu lalu kerana sesak nafas ketika konvoi bermotosikal di Kuala Lipis dan dalam perjalanan untuk ke Cameron Highlands, Pahang.

Jenazah Allahyarham Romi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Puah, Gombak pada jam 9 pagi, semalam.

Allahyarham Romi yang juga anak sulung dari empat beradik itu adalah anak Rosnah dari perkahwinan terdahulu.

Dia yang berstatus duda bekerja menjual kereta serta meninggalkan tiga anak, Amirul Huzaimi, 23; Emelda, 22 tahun dan Dina, 16 tahun.

Selepas bercerai, Rosnah juga sudah berkahwin semula dengan Tajul Efendie Isa, 42, atau lebih mesra disapa Blue. Manakala, bekas suaminya juga sudah berkahwin semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 3:52 PM