Sepasang suami isteri maut apbila motosikal kuasa tinggi dinaiki mereka terbabit kemalangan di KM32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, petang semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Sepasang suami isteri maut apbila motosikal kuasa tinggi dinaiki mereka terbabit kemalangan di KM32.3 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, petang semalam. FOTO IHSAN PEMBACA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 32.3 Jalan Kuala Kangsar - Gerik - Pengkalan Hulu, Lenggong, dekat Kota Tampan, Lenggong, semalam.

Kejadian 6.15 petang mengakibatkan mangsa berusia 42 tahun yang juga penunggang motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya yang membonceng motosikal itu, 44, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.

Difahamkan, identiti lelaki itu dikenal pasti sebagai Azranawi Radzi, manakala isterinya dikenali sebagai Rosnah Damha.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, nahas itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki yang parah akibat patah betis kiri dan bahu kanan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Azranawi gagal mengelak sebuah kereta yang ingin memasuki jalan utama dari sebuah stesen minyak.

Katanya, ketika kejadian, suami isteri terbabit dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar sebelum kereta berkenaan tiba-tiba keluar ke arah jalan utama (Jalan lama Kota Tampan-Lenggong) secara mengejut.

"Kejadian berlaku apabila kereta itu keluar secara mengejut dari simpang sebuah stesen minyak. Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal dinaiki pasangan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta," katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Katanya lagi, mangsa parah adalah penumpang kereta terbabit iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun, manakala pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan.

Zulkifli berkata, susulan kejadian, pihaknya kini menahan pemandu kereta berkenaan bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya lagi, bedah siasat mayat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 8:19 AM