Anggota bomba mengangkat mayat lelaki lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan IPD Alor Gajah. (Gambar kecil) Allahyarham Haudi Sujai
Anggota bomba mengangkat mayat lelaki lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Foto Ihsan IPD Alor Gajah. (Gambar kecil) Allahyarham Haudi Sujai
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Niat murni seorang lelaki warga emas untuk menyelamatkan dua rakannya yang dibawa arus deras bertukar tragedi apabila lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, Haudi Sujai, 63, beralamat di Taman Setia Balakong, Seri Kembangan, Selangor datang memancing ke pantai itu bersama tujuh rakannya, jam 10 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pada jam 4 pagi tadi, dua rakan mangsa berjalan kaki ke arah pantai Pulau Masjid, di sini untuk memancing.

"Bagaimanapun dua rakannya terperangkap dan hampir lemas apabila air laut mulai pasang kira-kira jam 11 pagi tadi.

"Mangsa cuba membantu, malangnya dia dihanyutkan air deras manakala dua rakannya berjaya diselamatkan oleh orang kampung," katanya dalam kenyataan petang ini.

Arshad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan pihak bomba dengan bantuan orang kampung sebaik menerima laporan kejadian itu.

"Sekitar jam 3 petang mangsa ditemui terapung tidak jauh daripada lokasi dia dilaporkan lemas dan dibawa naik ke pantai dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Port Dickson.

"Mangsa dirujuk ke hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

MELAKA: 3 SEPT 2023- Anggota bomba mengangkat mayat lelaki lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Foto - Ihsan IPD Alor Gajah.

From: Meor Riduwan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 10:16 PM