Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Pemilik kedai emas di Taman Ipoh Jaya, di sini kerugian RM660,000 selepas tiga pekerjanya disamun dua lelaki bersenjata, hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku samun bersenjata pada 10.15 pagi.

Menurutnya, pasukan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dibantu pasukan siasatan forensik dan Bahagian D9 (siasatan khas), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki dua lelaki mengacukan senjata menyerupai pistol kepada tiga pekerja kedai emas semasa mereka hendak membuka kedai lalu melarikan sejumlah barang kemas dan wang tunai anggaran nilai RM660,000.

"Ketiga-tiga mangsa tidak mengalami kecederaan semasa kejadian ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkawan bersenjata) dan polis sedang giat memburu dua suspek itu.

Beliau berkata, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan pihak polis.

YAHAYA (tengah) meninjau lokasi kes samun bersenjata. FOTO Balqis Jazimah Zahari
YAHAYA (tengah) meninjau lokasi kes samun bersenjata. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 4:55 PM