Balqis Jazimah Zahari


PENDUDUK tidak perlu terlalu bimbang kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah melaksanakan proses sanitasi di seluruh kawasan yang dipercayai dijejaki oleh 'Makcik Wristband' atau 'makcik gelang pink' yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarah JBPM negeri, Azmi Osman berkata, pihaknya mengambil langkah melaksanakan sanitasi di kesemua kawasan yang dinyatakan oleh pihak media dan juga individu berkaitan.

"Jangan bimbang tindakan sudah dilakukan. Sebagai contoh di kawasan Meru kita memberi fokus dengan (melaksanakan sanitasi) di kedai makan.

"Di samping itu kita sudah menggerakkan pasukan kita di lokasi yang dijejaki oleh Makcik berkenaan (Makcik gelang pink)," katanya kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Korban Perisma Perak bersama Nation of Women (NOW) Perak serta Kempen Keselamatan Kebakaran di Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Beliau mengulas demikian berikutan kebimbangan yang tercetus oleh kebanyakan pihak kesan daripada insiden berkenaan sehingga mengakibatkan premis di beberapa kawasan khususnya Meru kelihatan lengang.

Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kawasan lain yang pernah dijejaki Makcik gelang pink berkenaan diminta tampil ke hadapan memberi maklumat.

AZMI (tengah) ketika sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AZMI (tengah) ketika sidang media. FOTO Balqis Jazimah Zahari

"Sekiranya terdapat kawasan jejak lain yang diketahui oleh masyarakat, tampil ke hadapan untuk membantu kami memberikan maklumat untuk kami dapat bertindak dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata, bomba bersiapsiaga untuk melaksanakan sanitasi di seluruh kawasan sekiranya terdapat maklumat berkaitan dengan penularan virus Covid-19 ini oleh mana-mana individu.

"Proses sanitasi sehingga kini masih dilaksanakan di seluruh negeri sekiranya ada permintaan tetapi sekiranya ada kes dengan dengan penularan ataupun jejak yang dilakukan oleh orang yang disyaki (positif Covid-19), kita akan melaksanakannya kerana kita mahu memutuskan rantaian Covid-19.

"Paling penting bagi masyarakat perlulah waspada dengan mengikut arahan yang dikeluarkan Kementeriaan Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini NSTP melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin berkata, laporan siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan Pengarah Pendakwaan mengarahkan supaya siasatan diteruskan Jabatan Kesihatan.

Razarudin dilaporkan berkata, siasatan kes polis ditanda sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Berita berkaitan:

  • Identiti makcik 'wristband' dikenal pasti
  • 'Tak periksa pergelangan tangan dia, cuma ikut SOP disarankan'
  • JKNP cari makcik tular
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 4:14 PM