Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kertas siasatan berhubung ucapan kontroversi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang juga Pesuruhjaya PAS Perak sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya masih melengkapkan siasatan dan menunggu arahan selanjutnya.

"Kertas siasatan sudah diberi kepada Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini untuk arahan selanjutnya," katanya kepada pemberita sempena undi awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kompleks Latihan/Sukan Kontinjen Perak, Jalan Pasir Puteh di sini, hari ini.

Beliau berkata ketika ditanya pemberita berhubung perkembangan siasatan isu ucapan calon DUN Semanggol yang tular di media sosial itu.

Mohd Yusri berkata, bagaimanapun setakat ini polis belum memanggil Razman untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

"Belum lagi dipanggil (Razman), itu bergantung dan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan calon Perikatan Nasional (PN) DUN Gunung Semanggol itu yang menyampaikan ceramah berunsur fitnah dan berniat jahat terhadap Pakatan Harapan (PH).

Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam media melaporkan, Razman berkata, beliau tidak akan meminta maaf berhubung maklum balas politik semasa di Perak dan kes saman RM5 juta yang dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

MOHD Yusri (tengah) hadir pada sidang media Sempena Undi Awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) di Kompleks Latihan/Sukan Kontinjen Perak, Jalan Pasir Puteh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
MOHD Yusri (tengah) hadir pada sidang media Sempena Undi Awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) di Kompleks Latihan/Sukan Kontinjen Perak, Jalan Pasir Puteh. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 10:50 AM