NAJIB tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi sesi perbicaraan  rayuan terakhir membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC). FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB tiba di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi sesi perbicaraan rayuan terakhir membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Murni Wan Omar


Putrajaya: Pagi ini menyaksikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik, mengemukakan hujah pertama manakala pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk, V Sithambaram memberikan hujah balas.

Pada Selasa lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, mendengar dua permohonan dikemukakan pasukan pembelaan Najib.

Najib sebelum ini cuba mengemukakan bukti baru membabitkan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang didakwa mempunyai konflik kepentingan dengan SRC.

Selain itu Najib juga mengemukakan permohonan untuk menangguhkan rayuan kes ini bagi membolehkan pasukan peguam baharu yang dilantiknya membuat persediaan.

Bagaimanapun kedua-dua permohonan itu ditolak dan rayuan utama diteruskan hari ini.

Pasukan pendakwaan turut disertai Timbalan Pendakwa Raya iaitu Donald Joseph Franklin, Sulaiman Kho, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Manjira Vasudevan.

Sementara itu Najib turut diwakili peguam Datuk Zaid Ibrahim, Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam dan Hannah Kam Zhen Yi.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.

Hakim Mohd Nazlan turut menjatuhkan hukuman namun membenarkan permohonan untuk ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib dan mengekalkan sabitan ke atasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 9:32 AM