Ainul dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. FOTO Instagram Nurul Erwani Zaidi
Ainul dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. FOTO Instagram Nurul Erwani Zaidi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kanak-kanak yang pernah menjalani pembedahan kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Berita itu dikongsikan oleh ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi platform Instagram miliknya yang memaklumkan kanak-kanak berkenaan kini sedang tenat dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Nurul Erwani berkata, Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.

"Ainul mula dengan muntah dan cirit birit dalam masa sehari. Hari kedua mama tengok Ainul sudah tidak bermaya sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ini dan terus bawa ke Jabatan Kecemasan.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor memaklumkan jangkitan sudah merebak ke seluruh tubuh. Satu badan dipenuhi dengan wayar," tulisnya pada hantaran pada akaun Instagram, hari ini.

Nurul Erwani juga meluahkan rasa gagal kerana tidak memberi perhatian kepada Ainul dalam hantaran itu, selain turut memberi pesanan kepada orang ramai.

"Ingat ya semua. Sekarang ni virus dah dekat mana-mana. Walaupun Ainul duduk rumah je, jaga kebersihan pun, kalau nak jadi memang akan jadi," katanya.

Terdahulu, derita dialami Ainul Mardhiah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 4:22 PM