KEADAAN Ainul Mardhiah lebih baik sedikit dari kelmarin tetapi masih dalam keadaan kritikal. FOTO Instagram Nurul Erwani Zaidi
KEADAAN Ainul Mardhiah lebih baik sedikit dari kelmarin tetapi masih dalam keadaan kritikal. FOTO Instagram Nurul Erwani Zaidi
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Keadaan kanak-kanak yang pernah menjalani pembedahan kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, lebih baik sedikit dari kelmarin tetapi masih dalam keadaan kritikal.

Berita itu dikongsikan oleh bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, menerusi Facebook miliknya semalam yang memaklumkan anaknya yang berusia 4 tahun itu masih direhatkan serta memerlukan bantuan ventilator di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

"Doktor dan team (pasukan) masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk (nauzubillahiminzalik).

Untuk masa sekarang, usaha doktor dan pasukan yang merawatnya semalam dapat turunkan beberapa bacaan yang kritikal.

"Alhamdulillah syukur. Terima kasih doktor dan nurses (jururawat). Sekarang Ainul masih direhatkan, masih perlu bantuan ventilator dan dia masih dirawat di unit jagaan rapi.

"Terima kasih tak terhingga buat semua yang sentiasa mendoakan. Kami sekeluarga sangat menghargainya," katanya.

Katanya, keadaan kesihatan Ainul Mardhiah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan dilihat mampu buka mata walaupun hanya seketika.

"Tadi (semalam) nampak Ainul buka mata sekejap. Ainul ni kuat betul. Dalam keadaan separa sedar, dia masih ada tenaga melawan.

"Ainul memang seorang fighter (pejuang). Semangat juangnya tinggi. Walau apa pun yang berlaku, semua dengan izinNya.

"Doakan supaya Ainul dapat keluar dari zon kritikal dan sembuh dari jangkitan ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin," katanya.

Sebelum ini, derita dialami Ainul Mardhiah mendapat perhatian banyak pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan untuk penyakit kanser mulut Germ Cell Tumor, di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:22 PM