Ainul Mardhiah
Ainul Mardhiah
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Ainul Mardhiah, kanak-kanak yang pernah menghidap barah mulut dilapor semakin bertenaga berbanding dua hari lalu ketika mula-mula sedar selepas ditidurkan untuk rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Kanak-kanak empat tahun itu disyaki mengalami jangkitan kuman hingga mengalami sawan yang luar biasa, sejak awal bulan lalu.

Berkongsi perkembangan Ainul Mardhiah, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak berkata, keadaan anak sulungnya semakin stabil.

"(Keadaannya) stabil. Dia sudah mula gerak-gerakkan anggota tubuh badan, cuma masih tak larat untuk duduk sendiri. Perlu bantuan untuk duduk buat masa ini.

"Mungkin lagi dua, tiga hari dia akan boleh bangun dan duduk sendiri. Doktor maklum sekarang dia tengah dalam fasa pemulihan kesan daripada sawan yang serang banyak kali (sebelum ini)," katanya ketika dihubungi.

Pada 1 Ogos lalu, ibu Ainul Mardhiah, Nurul Erwani Zaidi, 27, berkongsi keadaan anaknya itu yang dilaporkan kritikal.

Sejak itu, Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani terus berkongsi perkembangan Ainul Mardhiah di laman sosial untuk pengetahuan orang ramai yang mengikuti perkembangan anak mereka.

Untuk rekod, Ainul Mardhiah pernah menjalani pembedahan di London, United Kingdom bagi membuang tumor seberat 200 gram pada 2019 dengan bantuan pelatih pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Dua hari lalu, Ahmad Safiuddin turut berkongsi perkembangan positif di akaun Facebooknya, memaklumkan bahawa Ainul Mardhiah sudah sedar dan tidak lagi bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 3:15 PM