Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab, 81, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dua tuduhan menggunakan jawatannya bagi memperoleh suapan dengan memilih syarikat keluarga untuk sewa kenderaan dan penginapan atlet berjumlah RM48,811.85.

Abu Samah bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai Presiden PKBM untuk mendapatkan suapan apabila memilih Syarikat Harapan Baiduri Sdn Bhd untuk menyediakan sewaan kenderaan logistik berharga RM12,750 melalui 13 baucar bayaran mulai 2013 hingga 2018, yang mana tertuduh dan anak-anaknya mempunyai kepentingan sebagai pemilik syarikat.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama apabila memilih Syarikat Keluarga Haji Wahab Hassan Sdn Bhd, miliknya dan adik-beradiknya untuk membuat sewaan inap desa berharga keseluruhan RM36,061.85 bagi kegunaan atlet berbasikal.

Abu Samah yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu di Pejabat PKBM, di Melaka Tengah antara 2013 hingga 2019.

ABU Samah (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ABU Samah (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Sesyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta Sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bersyarat bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.

Abu Samah bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 serta pasportnya tidak disimpan oleh mahkamah kerana memerlukannya untuk urusan di luar negara berkaitan sukan berbasikal.

Katanya, beliau kini berusia 81 tahun dan memberikan kerjasama penuh selama dua tahun kepada SPRM berkaitan siasatan kes berkenaan.

"Saya juga pergi ke SPRM sebulan sekali, pohon jaminan RM5,000 dan pasport saya tidak diserahkan.

"Sebagai Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) saya perlu menghadiri pelbagai mesyuarat di luar negara dengan terdekat di Australia selain di Thailand dan Indonesia. Saya tak lari puan, kalau mati pun di Malaysia... Melaka," katanya.

Dalam pada itu, Mahadi membantah rayuan berkaitan pasport dan berhujah bahawa tertuduh boleh memohon kepada mahkamah pada bila-bila masa jika memerlukannya.

Mahkamah membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport perlu diserah kepada mahkamah berkuatkuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 2:44 PM