FAKTOR masalah peribadi seperti guru di pusat jagaan tidak boleh membawa gangguan emosi di luar tempat kerja ke pusat jagaan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan berlaku kes pengabaian dan penderaan.
FAKTOR masalah peribadi seperti guru di pusat jagaan tidak boleh membawa gangguan emosi di luar tempat kerja ke pusat jagaan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan berlaku kes pengabaian dan penderaan.
Hafiz Ithnin dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di pusat jagaan ibarat tidak berpenghujung, malah lebih tragik, mangsa bukan sahaja mengalambahkan ada yang membawa kepada kehilangan nyawa membabitkan bayi selain kanak-kanak.

Presiden Persatuan Taska Kuala Lumpur, Dr Husen Mohd Yusof Khan berkata, isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak boleh berlaku bukan sahaja di pusat jagaan atau taska tidak bertauliah, tetapi turut berlaku di pusat yang mempunyai kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jelasnya, bagi pusat jagaan atau taska bertauliah, institusi itu sentiasa dipantau JKM dan perlu mengikuti garis panduan ditetapkan.

Guru-guru perlu mengikuti kursus pendidikan awal kanak-kanak yang sudah disediakan JKM bagi menambah kualiti penjagaan dan pendidikan.

"Namun, apabila kejadian ini berlaku, saya melihat terdapat tiga faktor iaitu guru atau penjaga itu sendiri mempunyai masalah peribadi dan melepaskan kemarahan kepada kanak-kanak, tertekan di tempat kerja serta ketiga dan mereka tidak mempunyai minat dalam bidang penjagaan kanak-kanak.

"Minat menjaga kanak-kanak amat penting kerana jika mereka hanya memikirkan ia suatu pekerjaan untuk mendapatkan wang sahaja, ia akan memberi kesan kepada anak-anak di bawah jagaan mereka," katanya.

Tambahnya, faktor masalah peribadi seperti guru di pusat jagaan tidak boleh membawa gangguan emosi di luar tempat kerja ke pusat jagaan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan berlaku kes pengabaian dan penderaan.

"Begitu juga dengan pemilik, mereka tidak boleh memberi tekanan kepada guru atau penjaga kerana golongan ini memerlukan emosi yang stabil supaya dapat berfikir secara waras dalam mengawal situasi di tempat kerja.

"Apatah lagi, melayan kanak-kanak yang kita tahu si kecil ini amat sensitif dan tidak matang dalam mengawal tindakan. Jadi sebagai penjaga atau guru, kita perlu bersedia," katanya.

Dr Husen berkata, lebih membimbangkan jika ibu bapa atau penjaga menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang tidak bertauliah kerana pemilik atau individu yang menjaga kanak-kanak berkenaan bukan sahaja operasinya tidak dipantau, malah tidak mengikuti kursus penjagaan secara formal.

"Sepatutnya tidak wujud isu menghantar kanak-kanak ke pusat jagaan tidak bertauliah disebabkan ibu bapa atau penjaga terdesak atau tidak mampu.

"Isu keselamatan anak-anak adalah perkara paling utama.

"Bagi mereka yang layak, kerajaan memberikan subsidi yuran pengasuhan RM180 bagi seorang kanak-kanak di taska bertauliah yang mengambil bahagian. Jadi, mereka sepatutnya dihantar di pusat yang bertauliah," katanya.

Mengulas mengenai kadar yuran yang dikenakan bagi menjaga kanak-kanak di bawah usia dua tahun di sekitar Kuala Lumpur, katanya, secara purata, pemilik taska akan mengenakan yuran RM500 seorang.

Kata beliau, ia juga boleh meningkat kepada RM1,500 kerana pengambilan kakitangan berkelulusan kejururawatan serta modul perkembangan bayi dan kanak-kanak berjenama.

LAPORAN muka depan Harian Metro, 28 Mei 2022. FOTO Arkib NSTP
LAPORAN muka depan Harian Metro, 28 Mei 2022. FOTO Arkib NSTP

'Trauma lihat CCTV anak OKU dikasari'

"Bukan sahaja anak, malah saya dan isteri turut trauma apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) anak yang juga orang kurang upaya (OKU) dikasari," kata Tengku Aminuddin Shafiq Tengku Ibrahim.

Kejadian si pelaku mengasari anak Tengku Aminuddin Shafiq, 37, yang berlaku pada Oktober tahun lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak itu turut tular di media sosial.

Video yang tular itu mengundang pelbagai reaksi netizen kerana tindakan si pelaku yang dilihat kasar dan boleh mencederakan mangsa yang juga kanak-kanak autisme.

Tengku Aminuddin Shafiq berkata, kejadian itu berlaku ketika anaknya berusia enam tahun.

Anaknya itu dihantar ke pusat jagaan berkenaan yang khusus untuk kanak-kanak OKU sejak Februari hingga Oktober 2021.

Katanya, sebelum membuat keputusan menghantar anak ke pusat berkenaan, dia dan isteri sudah membuat tinjauan di beberapa pusat jagaan.

Dia mendapati penjelasan daripada pusat jagaan berkenaan memuaskan hati dan sesuai dengan kemampuan mereka.

"Lima hingga enam kali juga kami berjumpa pihak berkenaan sebelum mendaftarkan anak untuk melihat sendiri keadaan di dalam pusat jagaan.

"Selain itu, pihak jagaan itu mendakwa mempunyai pengalaman dalam mengendalikan anak autisme serta menunjukkan kejayaan anak-anak yang pernah mendapatkan perkhidmatan di situ. Perkara itu meyakinkan kami sebelum mendaftarkan anak," katanya.

Menurut Tengku Aminuddin Shafiq, sepanjang tiga bulan pertama, dia mendapati ada kesan lebam di beberapa bahagian tubuh anaknya, tetapi masih berfikiran positif kerana menyangka anaknya mungkin cedera ketika bergaul dengan kawan baharu.

"Dalam tempoh enam bulan keadaan yang sama juga berlaku dan saya masih berfikiran positif kerana merasakan anak mungkin lebih lasak ketika di pusat jagaan.

"Namun, saya dan isteri perasan emosi anak tidak seceria dahulu. Dia lebih cepat marah dan apabila dijemput daripada pusat jagaan, dia menunjukkan rasa protes.

"Anak kami tidak pandai bercakap, tetapi tindakannya itu membuatkan saya rasa ada sesuatu yang tidak kena," katanya.

Tambahnya, akhirnya pada Oktober 2021, dia tidak dapat bertoleransi dengan situasi yang menimpa anaknya sebelum melihat sendiri rakaman CCTV.

"Saya sendiri terkejut apabila melihat pelakuan itu. Pemilik pusat jagaan juga berani menunjukkan klip rakaman untuk membuktikan bahawa tiada kekasaran kepada anak saya.

"Malah, dia juga tidak mengaku bersalah dengan tindakan itu," katanya.

Menurut Tengku Aminuddin Shafiq, dia tidak menyangka berlaku situasi itu kerana guru dan pemilik pusat berkenaan sentiasa bercakap lemah lembut serta memberi tahu keadaan anak di sekolah yang sentiasa baik.

"Apabila melihat keadaan itu, saya rasa tertipu. Malah, trauma kerana tidak menyangka dia sanggup melakukan perkara berkenaan kepada anak istimewa kami," katanya.

Nasihatnya, ibu bapa perlu tahu mengenai hak dan tindakan undang-undang yang boleh diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab sehingga berlaku salah laku kepada kanak-kanak.

"Kita tidak perlu marah-marah atau bertindak di luar kawalan apabila berdepan dengan situasi ini. Betul kita mempunyai rasa marah tetapi biar undang-undang memberikan keadilan," katanya.

Sementara itu, bagi Siti Nur Aisyah Nasron, 40, pada tahun lalu, dua kali anak bongsunya yang ketika itu berusia kurang setahun jatuh ke lantai disebabkan kecuaian penjaga.

Katanya, ia jelas pengabaian yang sukar diterima.

Perlu perundangan khusus: Peguam

Bagi kanak-kanak di bawah pemeliharaan, tanpa mengira sama ada di bawah seliaan taska bertauliah atau pusat jagaan tidak bertauliah, sekiranya berlaku kecederaan sama ada emosi atau fizikal, si pelaku boleh dikenakan tindakan undang-udang.

Perkara itu dikongsikan peguam bela dan peguam cara, Norzabetha Muhamad Nor.

Norzabetha berkata, bagi kes penganiayaan kanak-kanak, kesalahan itu termaktub mengikut Akta Kanak-kanak 2001 iaitu di bawah Seksyen 31(1) (a) yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Selagi mana kanak-kanak ini di bawah pemeliharaan, maknanya cikgu kepada kanak-kanak, penjaga taska atau pengasuh, sekiranya berlaku dicederakan, diabaikan atau dianiaya, mereka boleh didakwa di bawah akta ini.

"Tidak kira sama ada kanak-kanak itu di tempatkan di tempat jagaan bertauliah ataupun tidak, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Norzabetha berkata, sekiranya ibu bapa atau penjaga mendapati terdapat pengabaian, kecederaan atau penderaan anak-anak ini, mereka boleh membuat laporan polis untuk meneruskan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Norzabetha berpendapat, memandangkan terdapat peningkatan kes penganiayaan serta pengabaian kanak-kanak di taska atau pusat asuhan, perlu ada undang-undang yang khusus untuk melindungi anak-anak ini daripada kejadian seumpama ini.

Jelasnya, setakat ini, sebarang pertuduhan bagi kesalahan penganiayaan serta pengabaian yang berlaku kepada kanak-kanak di taska atau pusat asuhan adalah mengikut Akta Kanak-kanak 2001 iaitu mengikut Seksyen 31(1) (a).

"Ada juga kes-kes yang sudah dibuat laporan polis namun pendakwaan di mahkamah tidak diteruskan kerana tidak cukup pembuktian elemen kesalahan berdasarkan seksyen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 8:01 AM