HARI raya sepatutnya digunakan untuk memperkukuh silaturahim antara keluarga dan menjalin semula hubungan mesra sesama saudara-mara, adik-beradik, jiran tetangga dan sahabat handai. FOTO Arkib NSTP
HARI raya sepatutnya digunakan untuk memperkukuh silaturahim antara keluarga dan menjalin semula hubungan mesra sesama saudara-mara, adik-beradik, jiran tetangga dan sahabat handai. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan

Syawal adalah bulan kemenangan dan kegembiraan, namun saban tahun kita masih mendengar pelbagai episod menyedihkan seperti kemalangan jalan raya.

Selain itu, wujud persoalan tentang kaedah terbaik untuk memakmurkan masjid dengan jumlah jemaah yang ramai sama seperti Ramadan.

Mengungkai pelbagai persoalan berkenaan, ikuti wawancara Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bersama wartawan, Muhammad Saufi Hassan berhubung matlamat Syawal sebenarnya.

DR Wan Salim. FOTO Arkib NSTP
DR Wan Salim. FOTO Arkib NSTP

Ketika Ramadan, masjid penuh dengan jemaah. Apabila Syawal menjengah, masjid kembali lengang. Komen?

Sepanjang Ramadan, memang masjid penuh sesak dikunjungi kaum Muslimin untuk beribadat.

Tetapi, lazimnya, masjid menjadi lengang selepas Ramadan berlalu. Sepatutnya, latihan rohani yang diusahakan sepanjang bulan puasa perlu dijana selepas Ramadan.

Ini untuk membudayakan ibadat supaya ia menjadi agenda tetap yang sentiasa dipelihara sepanjang masa.

Peranan masjid sebagai 'kilang' bagi melahirkan hamba-hamba Allah yang beriman kepada-Nya dan berbakti kepada sesama manusia mesti sentiasa dipupuk. Ini tidak terhad pada Ramadan sahaja.

Apakah makna sebenar dalam menyambut hari raya pada pandangan Datuk Seri?

Hari raya adalah masa untuk bergembira dan bersukaria. Setiap komuniti mempunyai hari kebesaran masing-masing yang dirayakan mengikut tradisi dan adat yang diwarisi sejak zaman silam lagi.

Bagi umat Islam, ada dua hari raya yang ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Memang umat Islam berhak bersukaria dengan ketibaan kedua-dua hari kemuliaan tersebut.

Bagi Hari Raya Fitrah, ia dirayakan sebagai menyambut kemenangan menentang nafsu selama sebulan.

Hari Raya Korban pula disambut sebagai tanda bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas hidayat-Nya kepada ibadat haji yang diwarisi daripada 'Bapa Segala Nabi' iaitu Nabi Ibrahim AS.

Terdapat individu yang menjadikan jalan raya sebagai litar. Bukan itu saja, malah ia turut membahayakan pengguna lain?

Jalan raya bukan milik mana-mana individu atau kumpulan yang khusus. Ia disediakan oleh kerajaan untuk memudahkan orang ramai bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan kenderaan masing-masing.

Semua orang seboleh-bolehnya ingin sampai ke destinasi dengan seberapa cepat yang mungkin.

Tetapi untuk kepentingan bersama, setiap orang perlu bertolak ansur dengan mengenepikan sikap keakuan masing-masing demi keselamatan.

Memang amat dikesali, kes kematian dan kecederaan sentiasa meningkat terutama pada musim perayaan akibat tabiat buruk sebahagian pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.

Umpama sudah menjadi trend atau budaya golongan masa kini, mereka 'melekat' dengan gajet masing-masing walaupun ketika hari raya. Adakah keadaan ini boleh mengganggu silaturahim?

Hari raya sepatutnya digunakan untuk memperkukuh silaturahim antara keluarga dan menjalin semula hubungan mesra sesama saudara mara, adik beradik, jiran tetangga dan sahabat handai.

Justeru, kita perlu mengutamakan budaya ziarah menziarahi. Kita perlu ketepikan buat sementara kesukaan bermain gajet dan media sosial.

Pada hari raya, kita ada kesempatan yang baik untuk memperbaharui hubungan mesra dengan mereka yang jarang dapat bersama disebabkan kesibukan masing-masing mencari rezeki.

Jika asyik bermain gajet dan media sosial, maka peluang untuk bermesra antara satu sama lain akan terlepas begitu saja.

Wang raya atau amalan berziarah. Apa peranan ibu bapa dalam memberikan penerangan supaya kanak-kanak ini tidak salah erti dalam dua perbuatan berkenaan?

Ibu bapa perlulah menanam ke dalam jiwa anak-anak perasaan kasih sayang kepada sesama insan terutama sesama anggota keluarga dan mereka yang mempunyai hubungan darah dan keturunan.

Perasaan ini mesti dipupuk menerusi budaya ziarah menziarahi secara ikhlas.

Sememangnya kanak-kanak akan gembira jika mendapat wang raya, tetapi ibu bapa hendaklah memahamkan mereka bahawa tujuan ziarah bukan untuk mendapatkan wang, tetapi bagi memperkukuh ikatan mesra antara satu sama lain.

Apakah asasnya membeli pakaian baru ketika Syawal?

Memang umat Islam digalakkan memakai pakaian yang baru dan terbaik pada hari raya.

Tujuannya adalah untuk menzahirkan kegembiraan terhadap nikmat yang dikurniakan Allah SWT pada hari mulia ini.

Namun ini tidak bererti ingin bermegah-megah seolah-oleh berlumba untuk memperagakan pakaian.

Hati-hatilah agar tidak terperangkap dengan perangkap syaitan melalui pakaian yang dikenakan, lalu terjatuh ke dalam dosa riak dan ujib yang tercela.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 7:30 AM