GAMBAR menunjukkan keadaan Naim Azly sebelum dan selepas kakinya dipotong akibat osteosarkoma tahap empat.
GAMBAR menunjukkan keadaan Naim Azly sebelum dan selepas kakinya dipotong akibat osteosarkoma tahap empat.
NAIM Azly disahkan menghidap kanser tulang selepas menjalani pemeriksaan di HUSM Kubang Kerian.
NAIM Azly disahkan menghidap kanser tulang selepas menjalani pemeriksaan di HUSM Kubang Kerian.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keceriaan Muhammad Naim Azly Robort Rashid ketika mempromosikan pelbagai jenis produk jualan menerusi platform pasaran dalam talian menyembunyikan hakikat dia sebenarnya bertarung dengan kanser tulang, atau osteosarkoma tahap empat.

Tidak mahu bergantung pada bantuan, pemuda berusia 22 dari Terengganu itu yang kini berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kanan dipotong dari paras lutut bagi menghalang kanser merebak ke bahagian lain, cekal mencari pendapatan untuk membiayai keperluan perubatan selain membantu ibu bapa.

"Bukan sikap saya untuk bersedih dengan nasib yang menimpa. Saya terima keadaan saya," katanya.

Muhammad Naim Azly didiagnosis dengan osteosarkoma pada Mac 2020 tidak lama selepas menamatkan pengajian peringkat sijil di Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan sedang bekerja secara sambilan di sebuah kilang tenaga solar di Bayan Lepas, Pulau Pinang, bagi mengumpul dana untuk menyambung pendidikan di peringkat diploma.

Menurut anak kelima daripada tujuh beradik berusia 16 dan 34 itu, segalanya bermula apabila lutut kanannya berasa sakit selain seluruh badannya menggigil ketika dia bekerja.

"Keadaan ini berterusan menyebabkan saya berhenti kerja dan menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di Kelantan, di mana doktor mengesahkan saya menghidap osteosarkoma serta perlu segera dibedah pada kaki kanan.

"Selepas pembedahan, saya terpaksa terima hakikat teruskan hidup sebagai OKU. Saya sedar untuk 'menang pertarungan' dengan penyakit ini saya perlu jalani kemoterapi yang kerap.

"Mujur saya ada kad OKU selepas berdaftar dengan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit-sebanyak membantu," katanya.

Menurut Muhammad Naim Azly, ibu dan ayahnya sebelum ini berniaga air balang di pasar malam namun kini melakukan kerja-kerja rencam untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga yang diburukkan lagi selepas abang dan kakaknya kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memutuskan untuk berniaga, Muhammad Naim Azly memanfaatkan platform dalam talian bagi menjual barang-barang seperti rantai kunci, penunjuk al-Quran, pengalas cawan dan pewangi kenderaan.

"Pada peringkat awal, saya berniaga melalui Facebook. Alhamdulillah, perniagaan saya dapat sokongan ramai dan rakan kongsi perniagaan mengajar saya mengembangkan perniagaan melalui platform Shopee," ceritanya.

Menurut Muhammad Naim Azly, dia kini mampu meraih pendapatan bulanan antara RM1,000 dan RM2,000 berbanding hanya RM50 ketika berniaga menerusi Facebook.

Sementara itu, pakar bedah ortopedik di KPJ Klang Specialist Hospital Dr Abdul Yazid Mohd Kassim berkata, osteosarkoma merupakan penyakit jarang berlaku dan di Malaysia, prevalens osteosarkoma ialah satu atau dua orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurutnya, penyakit itu yang hanya mewakili satu peratus daripada semua jenis kanser didiagnosis di negara ini lazimnya dikesan dalam kalangan kanak-kanak, remaja serta orang muda berusia 10 dan 30 tahun, dengan kumpulan usia remaja paling ramai.

Bagaimanapun osteosarkoma boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jelasnya.

"Di negara ini, berdasarkan kertas kajian diterbitkan dalam Asia-Pacific Journal of Clinical Oncology 2015, bagi tempoh 2005 hingga 2010, 163 pesakit osteosarkoma dirawat di HUSM," katanya.

Menurut Dr Abdul Yazid, sekalipun punca osteosarkoma tidak dapat dikenal pasti secara khusus, ada faktor dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap penyakit itu seperti sindrom genetik yang jarang berlaku dan diwarisi dalam keluarga antaranya sindrom Li-Fraumeni (LFS), retinoblastoma keturunan dan juga penyakit Paget tulang.

"Faktor lain termasuk terapi radiasi untuk rawatan kanser. Pendedahan kepada dos tinggi radiasi seperti semasa rawatan kanser meningkatkan risiko berlaku barah tulang," katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, gejala osteosarkoma berbeza bagi setiap individu, bergantung pada jenis dan saiz ketumbuhan.

Amnya, gejala biasa ialah rasa sakit dan bengkak pada kawasan berkenaan, rasa sakit pada sebelah malam, mudah alami patah tulang selain hilang selera makan dan susut berat badan, jelas beliau.

Dr Abdul Yazid yang juga doktor pelawat di KPJ Damansara Specialist Hospital, berkata, pesakit boleh menjalani kehidupan normal selepas melengkapkan sesi kemoterapi atau radioterapi dengan kadar survival antara 43 dan 50 peratus selepas lima tahun didiagnosis.

Mengenai rawatan di negara ini, beliau berkata, pesakit perlu mematuhi garis panduan dan protokol rawatan osteosarkoma seperti kemoterapi neoadjuvant, pembedahan menyelamatkan anggota badan (membuang tumor) atau radioterapi.

"Dalam kes osteosarkoma, kemoterapi diberi sebelum pembedahan bagi mengecutkan ketumbuhan atau selepas pembedahan bagi menghapuskan sel barah dan mengurangkan risiko kanser berulang.

"Namun jangan bimbang, rawatan osteosarkoma ditawarkan di Malaysia setanding dengan piawaian antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 8:00 AM