ANTARA ketumbuhan tulang pada tangan.
ANTARA ketumbuhan tulang pada tangan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI tidak mengetahui mengenai ketumbuhan tulang. Ia terjadi apabila sel tidak normal tumbuh dengan pantas dan tidak terkawal pada tulang, rawan, otot, saraf, lemak serta tendon pesakit.

Kebanyakan ketumbuhan tulang adalah benigna (tidak berbahaya). Ini bermakna kewujudan ketumbuhan itu tidak mengancam nyawa dan tidak merebak ke bahagian lain dalam badan.

Pakar Ortopedik Onkologi Hospital Pakar KPJ Klang Dr Abdul Yazid Mohd Kassim berkata, meskipun kebanyakan ketumbuhan ini bukan barah, kesannya boleh melemahkan tulang, patah tulang, benjolan atau kesakitan yang berpanjangan.

"Contohnya, ketumbuhan tulang benigna dikenali sebagai sista tulang (unicameral bone cyst), sista tulang aneurismal, ketumbuhan sel gergasi dan sebagainya. Kebiasaannya rawatan bagi ketumbuhan benigna adalah pembedahan.

"Ketumbuhan tulang boleh menjadi malignan dikenali sebagai sarkoma dan berlaku kira-kira satu peratus daripada semua jenis barah di dalam tubuh manusia.

"Sarkoma adalah barah merosakkan tisu tulang yang normal dan boleh berlaku metastasis (sel barah merebak ke bahagian anggota badan lain)," katanya.

Kata Dr Abdul Yazid, terdapat dua jenis barah tulang iaitu primer dan sekunder.

PERBEZAAN tulang sihat dengan barah tulang.
PERBEZAAN tulang sihat dengan barah tulang.

"Barah tulang primer atau sarkoma tulang adalah berasal daripada tulang itu sendiri.

"Barah tulang sekunder pula biasanya bermula dari tempat lain di dalam badan, misalnya barah paru-paru atau payudara yang merebak ke tulang," katanya.

Jelasnya, punca dalam kebanyakan kes barah tulang tidak diketahui. Sebilangan kecil penyakit ini dikaitkan dengan faktor genetik dan punca lainnya disebabkan terdedah kepada radiasi serta penyakit tulang paget.

"Sarkoma tulang dapat dikelaskan berdasarkan jenis sel di mana barah itu bermula.

"Osteosarkoma iaitu barah tulang paling biasa didengari yang berlaku di sekitar kawasan lutut, tulang paha, lengan atas dan tulang kering.

"Contoh lain adalah seperti liposarkoma berasal daripada lemak, rabdomiosarkoma adalah daripada otot dan sarkoma ewing terbentuk daripada tisu lembut tulang serta kondrosarkom terbentuk daripada tisu rawan,"katanya.

Dr Abdul Yazid berkata, ramai pesakit mungkin tidak menyedari gejala ketumbuhan tulang sama ada ia benigna atau maligna.

Dr Abdul Yazid
Dr Abdul Yazid

"Ada kalanya, ketumbuhan ini boleh ditemui secara tidak sengaja melalui pemeriksaan sinaran-X yang dilakukan dengan sebab kesihatan lain.

"Secara umumnya, pesakit akan mengalami kesakitan parah yang turut dikaitkan dengan penurunan berat badan atau peluh malam," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya sebelum pesakit didiagnosis akan menjalani beberapa ujian seperti sinaran X (x-ray), imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan) untuk melihat saiz ketumbuhan dan tisu berhampiran yang terbabit.

"Biopsi suatu prosedur wajib apabila sampel tisu ketumbuhan diambil dan pemeriksaan di bawah mikroskop dilakukan untuk menentukan diagnosis utama," katanya.

Katanya, rawatan diberikan adalah bergantung kepada jenis barah tulang.

Kebanyakannya memerlukan pembedahan atau juga dikenali sebagai 'limb salvage surgery' dan diikuti dengan rawatan kemoterapi, radioterapi atau sebaliknya.

"Sekiranya pesakit mempunyai keraguan mengenai barah tulang, hendaklah berjumpa doktor bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 6:17 AM