MUHAMMAD Adam Mikhail bersama keluarganya sebelum bergerak ke Port Dickson untuk Program Kem Riadah Pejuang Kanser. FOTO FATHIL ASRI
MUHAMMAD Adam Mikhail bersama keluarganya sebelum bergerak ke Port Dickson untuk Program Kem Riadah Pejuang Kanser. FOTO FATHIL ASRI
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Saya harap sel kanser tidak kembali lagi dan mahu terus sihat serta belajar bersungguh-sungguh untuk balas jasa mummy (ibu) dan daddy (bapa).

"Mummy dan daddy setia berjuang bersama saya sepanjang dua tahun rawatan kanser sehingga daddy sanggup berhenti kerja," kata Muhammad Adam Mikhail Mohd Fazley.

Muhammad Adam Mikhail, 13, dari Bukit Kapar, Klang adalah pejuang kanser darah yang menamatkan rawatan sejak September tahun lalu selepas didiagnosis penyakit berkenaan pada September 2020 ketika berusia 10 tahun.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia sangat menghargai pengorbanan ibu bapa, Suriati Arjunaidi, 35, dan Mohd Fazley Hamzah, 35, yang sentiasa di sampingnya ketika menjalani rawatan.

Menurutnya, perjalanan selama ini bukan mudah dan banyak pengorbanan dilakukan termasuk terpaksa bercuti daripada sekolah, namun melihat semangat ibu bapa membuatnya kuat melawan penyakit biarpun perit.

"Saya tidak melalui zaman kanak-kanak seperti rakan lain apabila perlu menjalani rawatan selama dua tahun serta tidak boleh keluar bermain dan selalu tiada selera makan, tetapi ia berbaloi apabila doktor cakap sel kanser tiada.

"Saya rasa macam dapat peluang kedua dan sekarang saya mahu menjalani kehidupan dengan baik, berbakti kepada mummy dan daddy serta belajar bersungguh-sungguh supaya dapat balas jasa mereka apabila besar" katanya.

Remaja itu bersama ibu bapanya ditemui pada pelepasan rombongan Kem Riadah Pejuang Kanser Kanak-Kanak anjuran Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (Kids) ke Port Dickson, Negeri Sembilan di Kampung Baru di sini, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kapar itu berkata, program berkenaan dianggap sebagai meraikan dia dan rakan lain dalam perjuangan melawan kanser serta mengakui teruja mahu menyertai pelbagai aktiviti dirancang.

"Walaupun beberapa kali ke Port Dickson, namun kali ini sedikit berbeza kerana datang bersama rakan seperjuangan dan saya anggap ia untuk meraikan perjuangan kami selama ini," katanya yang bercita-cita menjadi anggota bomba.

Sementara itu, ibunya, Suriati berkata, dia bersyukur anak sulungnya kini boleh dianggap bebas sel kanser selepas menjalani rawatan dan tidak mengambil ubat, namun masih perlu menjalani pemeriksaan berkala.

Menurutnya, sebelum ini Muhammad Adam Mikhail menjalani prosedur mengambil air tulang belakang sebanyak tiga kali sebelum doktor memaklumkan berita gembira yang sel kanser tiada dalam badan anaknya.

"Khabar gembira itu diberitahu selepas enam bulan anak menjalani rawatan kemoterapi, tetapi masih perlu menghabiskan rawatan mengikut pelan ditetapkan doktor.

"Ketika Muhammad Adam Mikhail sakit, suami berhenti kerja di sebuah kilang untuk membantu menguruskan anak dan kami kemudian berniaga donat di hadapan rumah.

"Ia digunakan untuk kelangsungan hidup kami ketika itu selain bantuan daripada pihak zakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta. Agak perit juga ketika itu, tetapi kami kuatkan semangat demi Muhammad Adam Mikhail.

"Kebetulan ketika itu wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan keluar, jadi kami guna untuk perbelanjaan harian dan rawatan anak. Sekarang suami sudah kembali kerja di kilang dan kami berharap anak terus sihat dan bebas daripada kanser buat selama-lamanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:01 AM