ARIFF enggan terburu-buru untuk menimang cahaya mata, sebaliknya mahu kesediaan isterinya.
ARIFF enggan terburu-buru untuk menimang cahaya mata, sebaliknya mahu kesediaan isterinya.
Najiy Jefri


SIAPA sangka, pada usia yang masih muda penyanyi Ariff Bahran, 23, memilih untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan hati yang dikenali hampir tiga tahun lalu.

Dalam majlis yang cukup sederhana, Ariff memperisterikan wanita jelita juga seorang penerbit program masakan dikenali Amirah Syazwani Mohd Ridzuan, 27, sebagai permaisuri hidupnya pada 3 September lalu di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam.

Melihat perkahwinan adalah sebuah perkara yang baik dan indah, Ariff menolak tanggapan segelintir pihak yang mengatakan 'saham' dirinya dalam industri hiburan akan semakin 'merudum'.

Malah, Ariff juga tidak percaya bahawa peminatnya akan berkurangan sebaik kejutan yang dibuat di pentas Anugerah Drama Sangat 2021 apabila dilihat mengucup dahi isterinya.

"Secara profesional siapa yang berminat karya-karya saya pasti akan tetap menyokong perjalanan karier seni saya. Bagi saya, siapa yang tahu menilai seni dan kenapa mereka memilih seseorang artis itu mereka akan tahu batas mereka.

"Jadi tiada istilah peminat akan lari atau berkurangan, sebaliknya kita perlu percaya dengan rezeki dan tujuan sebenar hidup. Saya menghalalkan perkara yang baik ,"katanya.

SINGLE Melodi Hati adalah hadiah buat isteri tercinta.
SINGLE Melodi Hati adalah hadiah buat isteri tercinta.

Biarpun majlis pernikahan sudah berlangsung tiga bulan lalu, namun pelantun lagu Kata Akhirmu itu merancang menganjurkan majlis resepsi mereka, tahun depan.

"Kami ada merancang mengadakan majlis resepsi. Namun, disebabkan saya terbabit dengan penggambaran hingga Mac tahun depan, maka kami belum dapat memutuskan tarikh sesuai," katanya.

Beralih mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Ariff berkata, dia menyerahkan soal zuriat kepada isterinya.

"Saya tahu soalan ini akan ditanya oleh sesiapa saja. Apa yang mampu saya katakan, soal zuriat saya serahkan kepada isteri kerana dia yang akan melahirkan anak kami nanti. Saya sangat menghor mati dirinya. Kalau buat masa ini, dia belum bersedia untuk menimang zuriat dan saya okey saja. Tapi, andai dia sudah bersedia untuk bergelar ibu saya orang yang paling gembira ," katanya.

Setiap pasangan yang berkahwin pasti bercadang untuk berbulan madu, bagaimanapun melihat situasi semasa ketika ini, Ariff berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk bercuti atau berbulan madu.

"Memang ada perancangan untuk berbulan madu ke luar negara, tapi saya enggan mengambil sebarang risiko kerana wabak Covid-19 masih berleluasa di seluruh negara.

ARIFF percaya peminatnya akan terus setia meskipun sudah berkahwin.
ARIFF percaya peminatnya akan terus setia meskipun sudah berkahwin.

"Kemunculan varian baru juga membuatkan saya tidak mahu terburu-buru untuk berbulan madu sebab tak tahu bagaimana keadaan apabila saya pergi ke sesuatu tempat nanti. Lagipun kalau saya pergi, saya perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan negara terbabit, selain perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia.

"Jadi lebih baik saya tangguhkan dulu. Insya-Allah jika keadaan semakin pulih saya dan isteri akan berbulan madu. Lokasinya akan saya kongsikan nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ariff baru saja melancarkan single terkini sempena pernikahannya berjudul Melodi Hati pada 19 Disember lalu.

Dalam tempoh 10 hari dilancarkan, lagu ciptaan Ariff itu meraih lebih 57,000 tontonan di YouTube.

"Lagu ini saya tulis sebulan sebelum hari pernikahan kami. Saya dapat ilham untuk cipta lagu ini selepas segala perancangan untuk berkahwin sudah diputuskan dan berjalan seperti yang dirancang.

"Lagu ini adalah hadiah perkahwinan saya kepada isteri saya. Malah lagu ini juga dekat dengan pasangan yang baru berkahwin dan pasangan suami isteri yang bahagia melayari kehidupan rumah tangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 7:00 AM