YONNYBOII selamat bergelar suami kepada Nik Nazira pada 20 November lalu.
YONNYBOII selamat bergelar suami kepada Nik Nazira pada 20 November lalu.
Zaara Talita
am@hmetro.com.my

Mendirikan mahligai dalam usia muda bukan suatu yang mudah, namun penyanyi rap popular, Yonnyboii, 23, sudah bersedia memasuki fasa baharu dalam kehidupan.

Walaupun mengambil keputusan untuk bernikah dengan Nik Nazira Narriman, 22, dibuat pada saat akhir pada 20 November lalu, namun penyanyi yang popular dengan lagu Salahku ini bersyukur segala urusan untuk 'mendirikan masjid' dipermudahkan.

Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, keputusan untuk mempercepatkan majlis nikah dan resepsi dibuat tiga hari sebelum acara sebenar.

"Keluarga meminta kami mempercepatkan majlis. Majlis ringkas saja dihadiri kira-kira 20 ahli keluarga terdekat daripada kedua-dua belah pihak.

"Tiada niat hendak merahsiakan pernikahan, cuma kami hanya ingin menjaga hati keluarga yang mana jumlah tetamu terpaksa dihadkan. Oleh itu, kami memilih untuk tidak terlalu menghebahkannya.

"Alhamdulillah, semua urusan untuk bernikah dipermudahkan dan selesai dalam tempoh sehari saja. Malah, baju nikah kami berjaya disiapkan sehari saja. Sebenarnya keputusan untuk berkahwin ini dibuat tiga hari sebelum tarikh 20 November lalu.

PASANGAN ini dijadualkan berkahwin pada Januari tahun depan, namun membuat keputusan untuk mempercepatkan majlis mereka.
PASANGAN ini dijadualkan berkahwin pada Januari tahun depan, namun membuat keputusan untuk mempercepatkan majlis mereka.

"Ibu saya yang meminta kami untuk memuat naik gambar di Instagram bagi mengelakkan fitnah. Kata orang, elok dihebahkan urusan perkahwinan," katanya.

Yonnyboii berkata, dia berhasrat untuk berbulan madu di Eropah bersama cinta hatinya itu, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

"Bercerita mengenai bulan madu, saya ingin ke Eropah bersama isteri, namun melihat angka kes Covid-19 yang belum reda, hasrat itu terpaksa ditangguhkan dulu. Mungkin buat masa ini kami bercuti dalam negara dulu.

"Banyak tempat yang ingin saya kunjungi dan jelajahi apatah lagi bersama orang tersayang, namun banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Terutama sekali mengenai faktor kesihatan, jangan kerana ingin bercuti, lain pula jadinya nanti.

"Insya-Allah sekiranya keadaan semakin baik dan kes menurun, kami pasti ingin bercuti melihat negara luar. Lebih manis, detik itu dikongsikan bersama orang tersayang," katanya.

Terdahulu, Yonnyboii bertunang dengan Nazira pada 9 Oktober lalu dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 22 Januari tahun depan.

SUDAH bersedia untuk berkahwin pada usia muda.
SUDAH bersedia untuk berkahwin pada usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 6:30 AM