Zaleha terpaksa meredah banjir di Kampung Matang untuk ke masjid selepas rumahnya ditenggelami air. FOTO GHAZALI KORI
Zaleha terpaksa meredah banjir di Kampung Matang untuk ke masjid selepas rumahnya ditenggelami air. FOTO GHAZALI KORI
Zaid Salim


Kuala Berang: Impian pasangan raja sehari merakamkan detik indah di pelamin tidak kesampaian apabila terpaksa membatalkan majlis persandingan selepas kediaman keluarga pasangan perempuan dinaiki air di Kampung Matang, di sini, dinaiki air.

Malah, Zaleha Ahamad, 25, dan pasangannya, Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah, 26, terpaksa mengharungi banjir sedalam 0.5 meter untuk menghadiri majlis akad nikah dilangsungkan di masjid kampung berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya, jam 11.30 pagi hari ini.

Menurut Zaleha, mengikut perancangan, majlis akad nikah sepatutnya diadakan di rumah keluarganya namun disebabkan banjir, lokasi majlis berkenaan terpaksa dipindahkan ke masjid.

"Walaupun segala perancangan awal tidak menjadi tetapi kami syukur majlis berjalan dengan lancar dan kami selamat disatukan sebagai suami isteri.

"Memang sedih apabila ada acara terpaksa dibatalkan termasuk bersanding, namun ia adalah kenangan indah yang akan menjadi sejarah buat kami," katanya ketika ditemui di sini.

Zaleha berkata, majlis berkenaan sudah dirancang kira-kira sebulan lalu, namun tidak menyangka berlaku banjir pula.

Anak keempat dari enam beradik ini itu berkata, disebabkan banjir, khemah kenduri yang dipasang di perkarangan rumah juga turut dialihkan di atas jalan.

"Saya gembira apabila ramai jemputan datang termasuk rakan, sanak saudara hadir bagi memeriahkan majlis," katanya.

Katanya, dia bersyukur majlis berjalan lancar biarpun rumahnya dan kediaman suami di Kampung Syukur, Dungun turut ditenggelami banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:17 PM