Dua orang penduduk di Kampung Batu Serambai membersihkan kediamannya selepas air surut akibat ditenggelami dalam kejadian banjir yang melanda beberapa hari lepas ketika tinjauan pasca bencana di sekitar Jelebu, hari ini. FOTO BERNAMA
Dua orang penduduk di Kampung Batu Serambai membersihkan kediamannya selepas air surut akibat ditenggelami dalam kejadian banjir yang melanda beberapa hari lepas ketika tinjauan pasca bencana di sekitar Jelebu, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Jelebu: Hasrat pasangan pengantin baharu Mohd Ikhwan Mohd Kamil dan isterinya Nur Ain Wisni Faizal untuk bersanding esok terpaksa dilupakan selepas rumah keluarga mereka di Kampung Kuala Pah di sini, dilanda banjir, Sabtu lalu.

Mohd Ikhwan, 22, berkata, segala persiapan untuk majlis persandingan itu musnah selepas dihanyutkan arus deras dan kerugian hingga RM15,000.

"Perasaan sedih itu tidak dapat digambarkan. Ini majlis sanding di pihak belah saya (keluarga lelaki). Segala persiapan sudah dilakukan dan hanya tinggal untuk bersanding sahaja.

"Duit kami pun sudah habis nak buat majlis kenduri tetapi apa boleh buat, saya reda dan anggap ini sebagai ketentuan Allah," katanya yang ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan D'Sury di sini, hari ini.

Nur Ain Wisni, 19, berkata, dia dan Mohd Ikhwan dinikahkan pada 5 Disember lalu dan mereka sekeluarga kini menunggu arahan untuk dibenarkan pulang bagi membersihkan rumah.

Menurutnya, majlis persandingan pada esok terpaksa ditangguhkan pada tahun depan bergantung kepada kemampuan kewangan mereka.

Sementara itu, bapa Mohd Ikhwan, Mohd Kamil Zainun, 42, berkata, rumahnya dinaiki air sekelip mata susulan hujan lebat sejak petang Sabtu lalu.

"Air (banjir) tiba-tiba memasuki rumah pada jam 8.30 malam dan mencecah paras buku lali.

"Saya bersama isteri, anak serta menantu terus memindahkan barangan ke tempat tinggi namun arus deras menyebabkan barangan itu terjatuh dan dihanyutkan air," katanya sambil menambah mereka sekeluarga kerugian ribuan ringgit berikutan bencana itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 5:52 PM