GAGA beri bayangan bahawa hubungan cinta dengan teman lelaki baharu masih kekal indah.
GAGA beri bayangan bahawa hubungan cinta dengan teman lelaki baharu masih kekal indah.
Susunan Najiy Jefri


Selepas kejayaan membintangi filem A Star Is Born, penyanyi dan pelakon terkenal Lady Gaga mencatat satu lagi detik berharga apabila diberi kepercayaan memainkan peranan Patrizia Reggiani dalam filem House of Gucci.

Siapa sangka, Gaga berjaya membuktikan kemampuan dalam dunia lakonan dan terus cemerlang memberikan aksi terbaik sehingga menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik dalam acara ulung, Anugerah Oscar akan datang.

Selain Gaga, filem arahan Ridley Scott itu turut menyaksikan pembabitan pelakon hebat lain seperti Adam Driver yang melakonkan watak suaminya, Maurizio Gucci, Jared Leto (Paolo Gucci), Salma Hayek (Giuseppina Auriemma) dan Al Pacino (Aldo Gucci).

"Ketika melakonkan watak Patrizia, saya perlu belajar sayangkan diri.

"Saya juga sedar, cara yang paling menakutkan adalah apabila seseorang itu disakiti, dia akan menyakiti orang lain dan akhirnya memakan diri sendiri," katanya.

Patrizia adalah bekas isteri pewaris jenama fesyen ternama dunia Gucci iaitu mendiang Maurizio yang meringkuk dalam penjara selama 18 tahun disebabkan jenayah membunuh suaminya pada hujung 1990-an.

Gaga berkata, ketika menerima tawaran filem House of Gucci, dia terlebih dulu meminta pandangan daripada aktor yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini dalam filem A Star Is Born iaitu Bradley Cooper.

"Cooper mempercayai kemampuan saya ketika menjayakan watak Ally Maine dalam A Star Is Born. Filem itu adalah satu keloborasi yang berjaya sehingga meletakkan siapa saya hari ini.

"Jadi, sebelum saya menerima tawaran dalam House Of Gucci, saya bertanya Cooper kerana saya sangat menghargai sokongan dan nasihat daripadanya. Dia banyak mengajar untuk saya melangkah lebih jauh," katanya.

GAGA diberi kepercayaan main peranan Patrizia Reggiani dalam filem House of Gucci.
GAGA diberi kepercayaan main peranan Patrizia Reggiani dalam filem House of Gucci.

Kejayaan filem terbabit juga berjaya meletakkan Gaga dalam senarai pencalonan Oscar. Bagaimanapun, dia langsung tidak terfikir mengenai perkara itu.

"Rasa teruja dan seronok dapat berada dalam perbualan nominasi Oscar, tetapi secara semula jadinya, saya lebih bersikap kompetitif dengan diri sendiri berbanding melihat orang lain.

"Tetapi, saya berasa amat bersyukur dan sangat berbesar hati untuk terbabit dalam filem ini," katanya.

Dalam satu temu bual lain, Gaga ditanya mengenai kontroversi yang menyelubungi hidup Patrizia, kata penghibur ternama ini, ada banyak perkara yang sebenarnya disensasikan media antarabangsa mengenai wanita itu.

"Ada banyak perkara dalam kalangan media yang disensasikan kononnya dia (Patrizia) seorang 'pisau cukur', mengenai bagaimana dia membunuh demi ketamakan dan wang.

"Saya percaya dia buat semua itu disebabkan kasih sayang. Saya percaya semua itu 'survival'," luahnya.

Kata Gaga, dia menghabiskan waktu selama enam bulan untuk menghadam karakter Patrizia terutama dari segi aksen percakapan.

Sorok kisah cinta

Beralih mengenai kisah cinta dengan teman lelaki baharunya, Michael Polansky, Gaga ternyata sudah banyak belajar daripada kesilapan lampau.

Apa tidaknya, menerusi perhubungan yang terjalin Gaga memilih untuk tidak mendedahkan secara terperinci mengenai hubungan asmara mereka.

Selepas hubungan dan ikatan pertunangannya dengan lelaki dikenali Christian Carino berakhir, wanita berdarah campuran Amerika-Itali itu mahu fokus kepada kerjaya seninya dulu.

Menerusi satu temu bual pada acara karpet merah sempena promosi filem House of Gucci, Gaga memberi bayangan bahawa hubungan cintanya dengan teman lelaki baharu masih kekal indah dan tiada masalah setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:00 AM