Lady Gaga.
Lady Gaga.
Agensi

 

Los Angeles: DUA ekor anjing baka French bulldog milik penyanyi Lady Gaga  berjaya ditemui tanpa sebarang kecederaan, jam 6 petang, semalam.

Portal NBC Los Angeles melaporkan, Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan dua anjing bernama Koji dan Gustav sudah selamat dipulangkan.

"Seorang wanita membawa dua anjing berkenaan ke Balai Polis Komuniti Olimpik, LA, petang semalam.

"Wakil Lady Gaga hadir ke balai polis dan mengesahkan dua anjing ditemui adalah  milik Gaga.

"Wanita membawa dua anjing itu menafikan dirinya  terbabit atau bersubahat dengan serangan yang berlaku pada Rabu lalu," kata pegawai komando Bahagian Rompakan, Pembunuhan elit, Kapten Jonathan Tippett.

Ketika ini identiti wanita serta lokasi anjing berkenaan ditemui tidak didedahkan untuk keselamatan. Ini berikutan polis LA masih meneruskan siasatan.

Semalam, Lady Gaga dilapor menawarkan ganjaran kira-kira RM2 juta (AS$500,000) kepada individu yang memulangkan dua anjing baka French Bulldog yang dipercayai dilarikan suspek dalam kejadian tembak dan rompak di Hollywood pada Rabu lalu.

CNN melaporkan, penjaga dua ekor anjing kesayangan Gaga, Ryan Fischer  ditembak menggunakan pistol separuh automatik, dalam kejadian rompakan, kira-kira 10 malam.

Gaga dalam posting di laman Twitternya, meluahkan rasa terima kasih terhadap Ryan yang sanggup bergadai nyawa demi menjaga keselamatan anjing peliharaannya.

"Kamu adalah hero selama-lamanya," tulis Gaga.

Ryan masih lagi mendapatkan rawatan di hospital dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketika ini Gaga berada di Rome, Itali untuk penggambaran filem. 
 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:24 PM