RACHEL disebut-sebut bakal terima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards
RACHEL disebut-sebut bakal terima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards
Sudirman Mohd Tahir

SIAPA sangka video dirinya mendendangkan lagu juga menjadi 'soundtrack' filem A Star Is Born berjudul Shallow dendangan asal Lady Gaga dan Bradley Cooper mencuri perhatian dunia.

Menariknya, video yang dimuat naik tiga tahun lalu itu berjaya ditonton lebih tiga juta kali ketika dimuat naik di laman YouTube pada waktu itu sekali gus menarik perhatian peminat di seluruh dunia.

Dia juga berjaya menewaskan 30,000 calon lain yang menghadiri uji bakat filem muzik berkenaan bagi membawakan watak utama, Maria.

Ujar pemilik nama lengkap Rachel Anne Zegler, 20, itu sesi uji bakat untuk watak Maria sangat panjang iaitu selama setahun.

"Proses uji bakat saya agak panjang iaitu setahun daripada 25 Januari 2018 hingga 9 Januari 2019. Saya

balas panggilan 'casting' menerusi Twitter oleh Cindy Tolan, pengarah uji bakat.

"Waktu itu mereka sedang mencari empat orang untuk mengisi empat watak utama dalam West Side Story dan mereka mencari gadis dalam lingkungan usia 15 hingga 25 tahun untuk watak Maria.

"Saya pun cuba tanpa berfikir panjang dan menghantar video uji bakat. Saya seperti didera selama setahun oleh pengarah, Steven Spielberg. Itu yang dia cakap, tapi saya tak pernah fikir apa yang dia buat satu penderaan.

"Dia (Spielberg) cakap dia sudah menyusahkan usia 17 tahun saya, tapi syukur saya dipilih melakonkan watak Maria dan tiada rungutan tentang semua itu," katanya dalam satu wawancara bersama Ekstra TV.

Disebabkan keberkesanan watak Maria yang dilakonkan dalam West Side Story, Rachel kini disebut-sebut sebagai antara pelakon yang bakal menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik pada acara berprestij, Academy Awards tahun hadapan.

"Saya terpaku apabila orang bercakap mengenai kemungkinan menerima pencalonan Oscars. Saya terus menangis kegembiraan. Saya tak tahu bagaimana nak memberi reaksi.

"Itu yang saya rasa sekarang ini apabila semua orang mula memberi perhatian. Buat sesuatu yang mungkin akan menjadi pertimbangan. Tak semua orang dapat merasai nikmat itu," katanya.

Berpeluang bekerja dengan pengarah prolifik yang pernah menghasilkan banyak filem hebat seperti Saving Private Ryan, Jurassic Park dan The Post adalah mimpi yang menjadi kenyataan buat Rachel.

"Satu pengalaman yang amat luar biasa dapat bekerja dengannya. Spielberg bukan sahaja seorang mentor, tetapi dia juga seorang rakan yang baik.

"Dia selalu beri saya menonton filem lama. Semua filem yang pernah dijayakan oleh Carole Lombard," katanya ketika rancangan bual bicara, Good Morning America.

Berkongsi mengenai perhormatan menyanyikan semula lagu dalam West Side Story yang ditulis komposer legenda, mendiang Stephen Sondheim, yang meninggal dunia hujung November lalu, Rachel berkata, dia sangat menyanjung tinggi figura itu.

"Satu perkara yang sangat hebat apabila mengetahui Sondheim tulis lagu dalam West Side Story ketika dia berusia 24 tahun dan bertahan 64 tahun hingga sekarang.

"West Side Story adalah 'gig' profesional pertama saya dan bekerja menyanyikan karyanya memang penghormatan buat saya. Kita semua sangat-sangat merinduinya," katanya.

RACHEL berasakan pengalaman luar biasa bekerja dengan Spielberg.
RACHEL berasakan pengalaman luar biasa bekerja dengan Spielberg.

Lady Gaga inspirasi

Dalam satu acara tayangan perdana filem West Side Story, Rachel mendedahkan, dia peminat fanatik Lady Gaga dan kemungkinan akan bersaing dengan idolanya dalam Oscars adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran.

"Saya saksi yang Gaga sudah menghiburkan ramai orang melalui muziknya dan kejujuran dalam setiap apa dilakukan. Menjadi satu perkara yang sangat menginspirasikan melihat transisinya sebagai seorang pelakon yang hebat.

"Gaga mampu buat segala-galanya. Dia juga memberi inspirasi generasi akan datang. Saya mendapat inspirasi daripadanya dan Born This Way album kegemaran ketika saya berusia sembilan tahun," katanya.

Rachel yang bakal muncul dengan dua filem iaitu Shazam! Fury of the Gods dan Snow White and the Seven Dwarfs memaklumkan dia sangat terhutang budi dengan Gaga.

"Dia sebab saya di tahap sekarang, dia penyebab saya percaya diri dan dia juga alasan mengapa saya suka berlakon dan buat persembahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:00 AM