Barbra Streisand
Barbra Streisand
Agensi

Los Angeles: Legenda Barbra Streisand, 79, tampil menghentam Bradley Cooper yang mengarah serta membintangi filem A Star Is Born selepas tiga tahun filem itu dilancarkan.

Selepas meneliti semula filem itu, Barbra mengakui ia memiliki kekurangan dari segi keaslian tersendiri dan agak sama dengan jalan cerita versi A Star Is Born pada 1976 yang dibintanginya.

Dia juga tidak bersetuju Cooper dan Lady Gaga menjadi teraju utama naskhah terbabit. Sebaliknya, dia percaya calon paling tepat sepatutnya Will Smith dan Beyoncé.

"Awalnya, apabila saya dengar ia akan dibikin semula, ia sepatutnya dilakonkan Will Smith dan Beyoncé. Justeru, saya fikir ia sesuatu yang sangat menarik.

"Ia akan menampilkan kelainan, corak muzik berbeza, pelakon pun pelbagai, dan saya rasa idea itu sangat bagus. Saya terkejut apabila melihat betapa banyak persamaannya dengan filem saya yang dilakonkan pada 1976," katanya.

Meskipun tidak menafikan kagum dengan kejayaan filem itu, Barbra bagaimanapun tetap percaya bahawa naskhah itu tidak memiliki keaslian membanggakan.

"Saya tidak kisahlah pasal kejayaannya sebagaimana saya ambil berat mengenai keasliannya (idea)," katanya.

Filem berkisar mengejar impian dan penuh inspirasi terbabit berjaya mencetuskan fenomena tersendiri pada 2018. Lakonan Cooper dan Gaga turut mendapat pujian hebat penonton.

A Star Is Born juga berjaya mencapai kutipan sebanyak RM1.8 billion di seluruh dunia. Manakala, runut bunyinya Shallow turut memenangi trofi Oscar.

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 10:11 AM