MAHKAMAH Majistret Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
MAHKAMAH Majistret Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya

Kuala Pilah: Mahkamah Majistret di sini, hari ini kecoh seketika apabila seorang wanita yang juga orang kena tuduh (OKT) tiba-tiba mengamuk, dan cuba keluar dari mahkamah.

OKT berusia 20 tahun itu dibawa ke mahkamah untuk dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, sehubungan itu, prosiding mahkamah terpaksa dihentikan susulan kejadian itu.

"OKT dibawa ke mahkamah dari Hospital Tampoi, Johor dan doktor mengesahkan dia layak dibicarakan.

"Bagaimanapun, ketika OKT berada di kamar perbicaraan kira-kira jam 10 pagi, dia tiba-tiba mengamuk sebelum kertas pertuduhan belum habis dibaca," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Amran berkata, situasi berjaya dikawal dengan bantuan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) anggota Women Police Constables (WPC) dari Balai Polis Kuala Pilah.

"Sejurus kejadian, OKT yang berasal dari daerah ini dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Terdahulu, OKT diiringi Cawangan Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dari Hospital Tampoi, Johor ke Lokap Balai Polis Melang sebelum dibawa ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 3:18 PM