Sudirman Mohd Tahir


Kemunculan penyanyi Amir Masdi buat pertama kali di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang lalu membuka mata ramai pihak akan kemampuan sebenar dirinya.

Malah, sejak itu juga Amir, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi terus menjadi perhatian selain berjaya mengumpul peminat baru.

Apatah lagi genre muzik yang dibawa iaitu 'modern rock' dianggap cukup kena dengan mutu vokal hebatnya dan mampu menjadi identiti diri dalam kerjaya nyanyian diceburi.

Yakin dengan genre muzik yang menjadi pilihan, Amir yang popular menerusi lagu Puas, Kau Sakiti dan Asmara muncul dengan buah tangan terbaru, iaitu single Esok hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri.

Lagu bergenre modern rock' terbitan syarikat rakaman Nova Music itu sudah dirakam sejak awal tahun ini lagi.

"Lirik lagu ini mengikut konsep dan idea daripada saya sendiri. Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat. Sebab sekarang semua orang berada dalam suasana suram akibat pandemik yang berpanjangan.

"Jadi, menerusi lirik lagu ini saya nak pujuk hati dan menenangkan orang. Shazee faham apa saya cuba sampaikan dan dia yang menulis liriknya. Saya pula tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu, itu sebab saya minta tolong dia.

"Lagu Esok sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaru. Malah, ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih 'up beat'. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan single Esok dulu," katanya.

Single berkenaan sudah dilancarkan sejak 27 Ogos lalu.

Menurut Amir, genre muzik yang diketengahkan itu sudah menjadi 'trademark' muzik yang dibawakannya selain ia juga sudah dekat di hati peminatnya.

"Genre muzik ini saya tetapkan sebab berasa hala tuju muzik saya orang sudah mula kenal dan terima. Peminat sudah tahu saya penyanyi genre ini. Dalam masa sama, saya memang meminati genre sebegini.

"Kalau lagu berentak perlahan pun macam 'slow ballad', saya tambah elemen bersesuaian untuk menjadikan ia lebih ke arah

'modern rock'. Macam single Esok ini, pada asalnya nak piano saja, tapi apabila fikir balik ia tak berapa kuat dan menarik. Jadi saya kembali ke perancangan asal," katanya.

Semakin dikenali

Amir juga mengakui, pembabitannya di pentas AJL 35 berjaya menonjolkan bakat nyanyian dimiliki.

"Bagi saya AJL membuatkan saya dapat peminat baru. Sejak itu juga, orang sudah mula mahu lebih mengenali siapa itu Amir Masdi. Diakui sejak dari dulu lagi, saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya tanam tekad dalam diri untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.

"Sebagai contoh, sekalipun dah berjaya bertanding di AJL, tidak bermakna saya perlu berehat kerana sudah berada di pentas itu. Sebaliknya, saya perlu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa hadapan. Walaupun sudah melangkah ke AJL, kalau boleh selepas ini saya berazam nak menang pula.

"Dalam masa sama, saya mahu sentiasa ada peningkatan dalam kerjaya agar terus bertahan dalam industri. Disebabkan itu, saya akan terus berusaha dan memajukan diri," katanya.

Berkongsi mengenai imej dibawa, Amir berkata dia selesa dengan imej sedemikian iaitu berambut panjang.

"Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan nampak lebih rock. Mungkin sebab penampilan dan rambut. Ini akan menjadi imej tetap dan saya pun selesa dengan imej ini. Ramai juga yang bersetuju dengan saya.

"Malah, secara peribadi saya melihat imej ini yang paling sesuai. Pada masa akan datang, tak pasti lagi. Kalau jumpa idea baru, ia akan bertukar. Tapi untuk sekarang saya akan kekal dengan imej ini. Saya okey dan gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:00 AM