TIDAK mahu mengehadkan kemampuannya, kini belajar mencipta nama melalui platform digital.
TIDAK mahu mengehadkan kemampuannya, kini belajar mencipta nama melalui platform digital.
Syafil Syazwan Jefri


DALAM situasi dunia yang dilanda pandemik dan menyebabkan banyak kerja harian tertangguh serta tergendala, kita harus bijak meneroka peluang baharu untuk memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan.

Bagi penyanyi, komposer dan penulis lirik, Ikhwan Fatanna, dia juga tidak mahu mengehadkan kemampuannya dalam satu cabang kerjaya sahaja.

Memandangkan dia berada dan menetap di kawasan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ikhwan juga sama seperti orang lain, terpaksa menangguhkan kerja-kerja seninya.

Namun, dia tidak mahu hanya duduk diam, sebaliknya meneroka ilmu baharu dan mencari peluang lain yang ada untuk dia meluaskan lagi kemampuannya dalam berkarya.

"Sebelum ini, selepas kita semua melalui PKP pada tahun lalu, kita mula memulihkan situasi kewangan apabila kerajaan mengumumkan PKP Pemulihan (PKPP). Namun, tatkala kita dalam proses memulihkan keadaan, sekali lagi kita diduga dengan PKP kedua.

"Namun, kali ini saya belajar banyak perkara baharu antaranya, bagaimana meneroka cabang kerjaya lain untuk menguji kemampuan saya," katanya.

Menurut penyanyi lagu Bismillah dan Ya Rasul itu, dia memilih untuk belajar bagaimana mencipta nama di platform digital.

"Saya bukanlah orang yang terkenal di platform digital. Jadi, saya kena akui hakikat bahawa platform digital kini menjadi platform utama, seiring dengan peredaran waktu.

"Saya sekarang mencari ruang dan mahu belajar bagaimana untuk menghasilkan kandungan digital yang menjadi 'trend' atau apa yang dimahukan oleh peminat," katanya.

Menurut Ikhwan lagi, dia banyak meneliti perkembangan terbaharu mengenai apa yang berada di dalam senarai sohor kini atau 'trending'.

"Saya belajar dengan melihat kandungan yang dihasilkan oleh pereka kandungan digital. Secara tak langsung, saya juga dapat menggunakan apa yang dipelajari itu untuk mengeluarkan lagu di platform digital pula," katanya.

Berkongsi mengenai karier seninya, Ikhwan baharu sahaja selesai merakamkan single berjudul Isteri Solehah yang dijadual akan dilancar pada 12 Februari ini.

"Sebelum PKP, saya sempat merakamkan single baharu ciptaan sendiri. Alhamdulillah, karya hasil ciptaan saya sepenuhnya ini mendapat kerjasama daripada penerbit, Mike Chan.

"Pada awalnya, saya hasilkan lagu ini ketika kita menjalani PKP pertama tahun lalu dan menggunakan gitar untuk mengiringi nyanyian saya.

"Tak sangka pula ia mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menerima tawaran daripada Mike untuk menerbitkan lagu ini sebagai single," katanya.

Diinspirasikan daripada beberapa kisah penghijrahan selebriti wanita dikenali seperti Neelofa dan Hannah Delisha, Ikhwan turut menghasilkan karya ini sebagai tanda penghargaan buat srikandi dalam sejarah Islam.

"Ini salah satu cara saya menunjukkan penghargaan dan karya lagu ini mengisahkan mengenai ceritera srikandi Islam. Pada masa sama, ia juga sesuai untuk diperdengarkan oleh mereka yang sudah berumah tangga," katanya.

Selain itu, Ikhwan juga tidak terlepas daripada terpaksa menangguhkan beberapa kerja rakaman lain.

"Antara kerja yang tertangguh adalah rakaman video muzik untuk lagu Isteri Solehah ini. Jadi, mungkin saya dan pihak syarikat rakaman kena menggunakan pelan B iaitu menerbitkan video lirik terlebih dahulu.

"Selain itu, ada juga beberapa lagu yang saya hasilkan untuk artis lain terpaksa ditangguhkan rakamannya, seperti lagu untuk Siti Nordiana dan ada satu lagu yang akan dinyanyikan secara duet.

"Apapun, saya berharap semoga krisis pandemik Covid-19 ini dapat selesai dengan tuntas, sekali gus kita semua dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala dan rasa selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:23 AM