PEMANDANGAN Masjidil Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur. - Agensi
PEMANDANGAN Masjidil Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur. - Agensi
Agensi

AMMAN: Israel berkemungkinan besar merampas seluruh Baitulmaqdis, termasuk Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Masjidil Al-Aqsa bagi mengelak penduduk Yahudi menjadi minoriti di bandar berkenaan.

Menurut laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berpangkalan di Brussels, Baitulmaqdis akan menjadi bandar minoriti Yahudi selewat-lewatnya 2045 berikutan kegagalan kerajaan Israel menarik penduduk Yahudi daripada berpindah masuk ke Baitulmaqdis atau kekal tinggal di sana.

Daily Sabah melaporkan, ramai penduduk Yahudi berpindah dari Baitulmaqdis manakala penduduk Palestin kekal di sana walaupun menghadapi pelbagai penindasan oleh rejim Zionis.

“Jika demografik sekarang berterusan, Baitulmaqdis akan menjadi bandar minoriti Yahudi pada 2045,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, kadar kelahiran penduduk Palestin lebih tinggi berbanding penduduk Yahudi.

Israel menduduki Baitulmaqdis selepas Perang 1967 namun undang-undang Israel tidak dilaksanakan sepenuhnya di Baitulmaqdis Timur.

Menurut Al Jazeera, Israel tidak membangunkan Baitulmaqdis Timur yang dihuni penduduk Palestin dan Arab selain mengenakan pelbagai cukai pihak berkuasa tempatan (namun tiada perkhidmatan diberikan) bagi memaksa mereka berpindah.

Israel mungkin mengeluarkan Kafr Aqab, kem pelarian Shuafat/Anata, al-Sawahra dan al-Walaja daripada pentadbiran pihak berkuasa tempatan Baitulmaqdis dan jika ia berlaku, akan menjejaskan status penduduk Palestin sebagai penduduk Israel.

Mereka seperti penduduk Palestin lain di Tebing Barat, perlu mendapatkan permit untuk ke Baitulmaqdis Timur atau Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 6:30 AM