ATIQ kini membintangi drama Miss Match
ATIQ kini membintangi drama Miss Match
Najiy Jefri


SELEPAS empat tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, Atiq Azman bersyukur momentum kerjayanya berjalan dengan baik.

Apa yang lebih menggembirakan, pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah ini berpeluang menimba ilmu bermula sebagai pelakon tambahan sehinggalah diberi tanggungjawab membawa watak utama.

"Alhamdulillah, saya bersyukur laluan kerjaya seni berjalan seperti yang diharapkan. Saya tidak terburu-buru untuk mencipta nama apatah lagi nak mengejar populariti.

"Bermula sebagai pelakon tambahan pada awalnya memang banyak

cabaran tapi saya kutip segala pengalaman itu sebagai satu semangat untuk menjadi lebih baik.

"Saya akui untuk membina nama dan berada di tahap sekarang tidak mudah. Namun sabar adalah kunci utama untuk saya terus kekal dalam bidang ini," katanya.

Menurut Atiq, dia sentiasa mengingatkan diri supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap setiap apa yang dilakukan, sebaliknya kejayaan akan datang jika hasil yang diberikan terbaik.

"Selain mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini, saya akui kerjaya lakonan adalah punca utama saya untuk meneruskan kehidupan.

"Bagaimanapun saya selalu ingatkan diri supaya jangan letak harapan terlalu tinggi untuk meraih pujian atau meraih sesuatu yang diimpikan.

"Bagi saya, masa yang tepat akan sampai bila kita tekun dan sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Saya bersyukur hari ini tawaran lakonan tidak putus.

EMPAT tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan ,Atiq kini semakin dihujani tawaran.
EMPAT tahun mencanai bakat dalam bidang lakonan ,Atiq kini semakin dihujani tawaran.

"Saya anggap setiap tawaran yang datang adalah hasil kerja keras dan kecintaan saya terhadap bidang lakonan selama ini," katanya yang kini membintangi drama Miss Match yang kini ditayangkan di platform WeTV iflix.

Sering memegang watak lelaki baik dalam kebanyakan drama lakonannya termasuk drama yang mengubah hidupnya 360 darjah iaitu drama popular Nur dan Nur 2, Atiq nyata memiliki karakter idaman.

"Saya teringin nak bawa watak 'fighter'. Saya impikan cerita-cerita yang lebih berat serta menguji kredibiliti sebagai pelakon.

"Selalunya saya sering bawa watak ahli perniagaan yang kebanyakannya watak baik. Jadi jika diberi peluang saya nak sesuatu yang lebih mencabar. Saya nak berlakon dalam drama aksi satu hari nanti," katanya.

Ditanya mengenai watak dalam drama bersiri Miss Match, Atiq berkata, menerusi drama arahan Tam Suhaimi itu dia memegang watak sebagai jurukamera.

ATIQ mengimpikan watak ‘fighter’.
ATIQ mengimpikan watak ‘fighter’.

"Dalam Miss Match saya membawa watak bernama Iqy. Saya teruja dengan watak ini kerana ia sesuatu yang lain yang pernah saya bawakan.

"Saya juga sempat mempelajari beberapa teknik penggunaan kamera. Banyak ilmu yang saya dapat walaupun bukanlah membawa watak utama dalam drama empat episod ini.

Selain Atiq, ia turut dibintangi Kilafairy, Mimi Lana dan Bella Dally.

Menurut Atiq, dia pertama kali bekerjasama dengan pelakon dan pengarah drama itu.

"Rata-rata pelakon yang terbabit saya tak pernah bekerjasama sebelum ini. Malah drama ini juga adalah pengalaman kali pertama saya bekerja di bawah arahan Tam Suhaimi.

"Sejujurnya kami tidak berdepan sebarang kesukaran. Masing-masing memberikan komitmen yang baik dan tunjuk ajar di set penggambaran.

"Kalau nak tahu, saya sebenarnya seorang yang sangat pemalu. Masa awal-awal terbabit dalam bidang ini saya banyak berdiam diri, tapi kini saya cuba menyesuaikan diri di set penggambaran.

"Saya juga cuba ambil masa berbual dengan kru produksi serta pelakon-pelakon lain," katanya.

Mengakui platform digital adalah salah satu medium utama yang menjadi pilihan masyarakat sekarang, Atiq berharap mendapat lebih banyak tawaran selepas ini.

"Platform seperti WeTV iflix adalah satu medium baru yang semakin menjadi pilihan penonton. Tambahan masyarakat sekarang banyak luangkan masa dengan telefon pintar atau gajet.

"Jadi platform seperti ini memudahkan mereka untuk menonton drama kegemaran pada bila-bila masa dan di mana saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:00 AM